Kesihatan Mental Dalam Penyesuaian Norma Baharu | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» BERITA » Kesihatan Mental Dalam Penyesuaian Norma Baharu

Kesihatan Mental Dalam Penyesuaian Norma Baharu

SERDANG 14 Jun 2021 – Ketika negara menghadapi kenaikan kes positif Covid-19, kerajaan mengarahkan seluruh negara perlu menjalani “Perintah Kawalan Pergerakan” ataupun PKP. Sepanjang tempoh ini berlangsung, rakyat perlu menjalani suatu norma baharu dimana aktiviti secara fizikal perlu diganti dengan secara maya termasuklah sesi pengajaran dan pembelajaran disekolah dan institusi pengajian tinggi. Rentetan itu, sekumpulan mahasiswa daripada Universiti Putra Malaysia dibawah Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) Bakti Siswa Kumpulan 15 mengambil inisiatif menganjurkan program Mental Therapy for New Norm Adaptations.

Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) Univerisiti Putra Malaysia, Tuan Haji Mohd Aris Fadzillah Abdullah berkata, program Mental Therapy for New Norm Adaptations ini adalah program yang seiring dengan keperluan semasa dikala negara sedang berdepan dengan krisis pandemik dan penyesuaian norma baharu. Cetusan idea daripada mahasiswa untuk menghasilkan program sedemikian membuktikan bahawa mahasiswa UPM sentiasa cakna dengan isu semasa negara.

Beliau berkata, dalam mendepani krisis kenaikan kes positif Covid-19, kesihatan mental juga perlu diberikan perhatian selari dengan keperluan penjagaan kesihatan fizikal. Hal ini kerana, dalam tempoh negara menghadapi PKP, pelbagai kes membabitkan kesihatan mental dalam kalangan rakyat Malaysia telah dilaporkan di media massa. Peningkatan kes melibatkan kesihatan mental dipengaruhi oleh tekanan yang dihadapi termasuk dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran norma baharu.

“Ini adalah usaha kerajaan untuk memastikan pengurangan kes positif Covid-19 dapat dicapai dan negara mampu mencapai misi satu angka kes harian Covid-19. Namun begitu, kesihatan mental juga perlu diberikan perhatian dan program seperti ini harus dilaksanakan dengan lebih banyak bagi membantu komuniti didalam mahupun diluar UPM untuk sentiasa mejaga kesihatan mental terutamanya ketika dalam penyesuaian norma baharu,” katanya ketika majlis penutupan yang berlangsung pada 13 Jun 2021 yang lalu.

Program ini juga dihadiri oleh Presiden Persatuan Kesedaran & Sokongan Penyakit Mental (MIASA), Pn. Anita Abu Bakar, Cik Nor Faseha Annaasihah Binti Ariffin, Pegawai Psikologi (Kaunseling) daripada Pejabat Kesihatan Daerah Kluang dan juga En. Mohd Taufiq Mahmud, kaunselor berdaftar dalam bidang bimbingan dan kaunseling. Program yang berlangsung selama 2 hari secara maya ini disertai oleh 70 peserta yang juga merupakan kalangan pelajar dan staf daripada Universiti Putra Malaysia.

Tarikh Input: 30/07/2021 | Kemaskini: 30/07/2021 | muhamadzulwaqa

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXETKAZ~