Pelajar UPM Kumpul Dana Bantu Golongan OKU | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» BERITA » Pelajar UPM kumpul dana bantu golongan OKU

Pelajar UPM kumpul dana bantu golongan OKU

Peserta yang menyertai Sembang Santai : Ankara Impian dan Realiti

 

SERDANG – Bagi meringankan beban golongan Orang Kurang Upaya (OKU), 38 pelajar Banchelor Komunikasi dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) bertindak mengumpul dana bagi membantu golongan tersebut.

Pelajar yang mengambil Kursus Pembangunan Kesukarelawanan, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar itu telah menganjurkan program Empowering Disabilities dengan kerjasama Persatuan Kebajikan OKU Hati Berganda, Selangor untuk mengumpulkan dana tersebut.

Pengarah Program, D. Dharshna Murthy berkata, usaha berkenaan dijalankan atas keprihatinan terhadap nasib golongan OKU di Malaysia.

“Objektif program ini dijalankan adalah untuk melahirkan masyarakat yang prihatin dan cakna dengan masyarakat sekeliling serta membuang sifat mementingkan diri dalam kalangan pelajar dan masyarakat.

“Program yang berlangsung selama lebih dari sebulan ini menjalankan kutipan secara dalam talian bagi membantu golongan OKU yang terjejas di sekitar Selangor yang akan disalurkan melalui Persatuan Kebajikan OKU Hati Berganda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, telah berlangsung aktiviti Sembang Santai : Ankara Impian dan Realiti yang bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat secara dalam talian bersama tiga orang panel iaitu Fendy Caliph Buskers, pakar motivasi, Dr. Ruzimi Muhammed dan Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi UPM, Dr. Mastura Mahamed.

Pisu yang telah dibincangkan dalam program sembang santai itu bagi membuka mata masyarakat tentang realiti kehidupan golongan OKU.

Dalam pada itu, Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, Prof. Dr. Mohd Azidan Abdul Jabar turut menyokong program berkenaan yang dilihat dapat memberi peluang kepada mahasiswa menyalurkan bakti dan dapat meningkatkan kemahiran insaniah mereka.

“Mahasiswa perlu menanamkan nilai keprihatinan dan kepimpinan dalam diri dan berharap dapat melihat para pelajar menjadi anggota masyarakat yang cemerlang bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga kepemimpinan dan kepribadian.

“Disamping itu, program seperti ini dapat memberi peluang kepada mahasiswa untuk memantapkan kemahiran insaniah atau pun soft skill mereka agar dapat menjadi mahasiswa dambaan para majikan apabila bergraduat kelak.” katanya semasa hadir merasmikan program tersebut.

Setakat ini para pelajar ini telah berjaya mengumpulkan wang tunai berjumlah lebih RM3,000.

Tarikh Input: 22/09/2021 | Kemaskini: 22/09/2021 | muhamadzulwaqa

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXETVAp~