PROGRAM EKSPLORASI SAINS PUPUK MINAT MURID DALAM BIDANG STEM | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» BERITA » PROGRAM EKSPLORASI SAINS PUPUK MINAT MURID DALAM BIDANG STEM

PROGRAM EKSPLORASI SAINS PUPUK MINAT MURID DALAM BIDANG STEM

KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP)  menganjurkan Program Pemerkasaan Sahsiah Pelajar dan Eksplorasi Sains untuk mencetuskan rasa minat dalam bidang sains baru-baru ini.

Ia sekali gus membangkitkan kesedaran kepada murid sekolah tentang kepentingan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kehidupan seharian dan juga masa depan negara.

Program hasil kerjasama PKPP, UPM dengan Sekolah Kebangsaan Bukit Bota telah melibatkan penyertaan seramai 150 orang murid tahap dua daripada tiga buah sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Bota, Sekolah Kebangsaan Bukit Lada dan Sekolah Kebangsaan Sekara.

Picture5-681x454

Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM, Prof. Dr. Omrah Hassan berkata, program itu diadakan bagi membantu meningkatkan kualiti pendidikan serta kemahiran pelajar sekolah rendah yang berkonsepkan ‘belajar sambil bermain’.

“Pelbagai aktiviti permainan dan eksperimen yang telah dilaksanakan boleh dijadikan platform untuk menambah pengetahuan serta kemahiran.

“Di samping itu boleh mendorong kepada semua murid kepada penciptaan pelbagai inovasi dalam bidang sains,” katanya.

Program berkenaan dikendalikan dengan lancar menerusi penglibatan 24 orang ahli Kelab Pembangunan Insaniah (INSAN) UPM yang melaksanakan pelbagai aktiviti dan permainan berbentuk eksperimen sains.

Antara modul menarik yang dijalankan ialah Egg Parachute, Miracle Star, Explorace dan Roket Ke Hati.

Picture3

Sementara itu, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Maran, Mohd Ariffin Ab Rahman berkata, inisiatif UPM ini dapat membantu meningkatkan kecemerlangan akademik dan sahsiah murid sekali gus memperkasa minat terhadap STEM.

Bagi pelajar UPM, penganjuran program seperti ini selari dengan sasaran matlamat Pelan Strategik UPM 2021-2025 serta matlamat pendidikan, iaitu melahirkan graduan bitara yang holsistik, ihsan, patriotisme dan berdaya tahan.

Melalui program ini pelajar dapat turun padang untuk berbakti kepada masyarakat berpaksikan motto UPM, “Berilmu Berbakti”.

Tarikh Input: 20/02/2023 | Kemaskini: 20/02/2023 | muhamadzulwaqa

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXEUFAE~