SOAP2DAY MENDIDIK MASYARAKAT UMUM DAN PELAJAR TENTANG KESEDARAN BERKAITAN PENCEMARAN ALAM SEKITAR | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» BERITA » SOAP2DAY MENDIDIK MASYARAKAT UMUM DAN PELAJAR TENTANG KESEDARAN BERKAITAN PENCEMARAN ALAM SEKITAR

SOAP2DAY MENDIDIK MASYARAKAT UMUM DAN PELAJAR TENTANG KESEDARAN BERKAITAN PENCEMARAN ALAM SEKITAR

 SERDANG 7 Januari 2023, – Pemikiran kreatif ialah kaedah atau strategi untuk menghasilkan idea dan konsep baharu. Setiap individu mempunyai tahap pemikiran kreatif serta cara penyelesaian pada sudut yang berbeza. Namun, dengan amalan dan praktikal yang bersesuaian, pemikiran kreatif in mampu dipertingkatkan. Pemikiran kreatif dan kritis boleh diasah melalui aktiviti seperti penyelesaian teka-teki, permainan penyelesaian masalah, dan pembinaan objek. Insan kreatif boleh memikirkan cara baharu untuk menyelesaikan tugasan dan masalah serta menghadapi cabaran dengan lebih logik. Mereka membawa perspektif yang unik dan tidak konvensional kepada tugas itu. Pemikiran ini boleh membantu jabatan dan organisasi menjadi lebih produktif dan inovatif.

 

Hasilnya, kami pelajar UPM dari QKI2101 Inovasi dan Rekacipta (Kumpulan 1) menjalankan program “SOAP2DAY”. Tujuan program ini diadakan adalah bagi mendidik masyarakat umum dan pelajar tentang kesedaran berkaitan pencemaran alam sekitar yang berpunca daripada minyak masak terpakai serta pengurusan pembuangan yang teratur. Selain itu, program ini dapat membantu masyarakat mengurangkan kadar pencemaran yang tinggi daripada sumber minyak masak terpakai di kawasan perumahan.

 

Program SOAP2DAY ini juga bertujuan memberi kesedaran kepada penduduk setempat berkaitan pengurusan minyak masak terpakai serta membuat kutipan sisa minyak terpakai. Pada hari pertama (7 Januari 2023), pelajar telah memberi kesedaran kepada penduduk setempat berkaitan pengurusan minyak masak terpakai serta membuat kutipan sisa minyak terpakai dengan mengedarkan risalah. Pada 8 Januari 2023, kami telah menganjurkan sebuah aktiviti demonstrasi untuk membuat sabun daripada sisa minyak terpakai yang telah dikumpul pada 7 Januari 2023.

 

Mohamad Halizan bin Yusof (Pengerusi Pangsapuri PKNS Sri Kembangan), selaku perasmi program ini telah mengatakan bahawa kepentingan berfikir secara kreatif dan kritis haruslah dipupuk dalam kalangan generasi muda kerana pemuda yang berkreatif akan mengiringi negara ke tahap kemajuan yang tinggi. Beliau berkata, kreatif juga ada prosesnya, iaitu masalah, penyelidikan, pemikiran mengenai WH, brainstorm dan cara penyelesaian masalah. Proses ini amat penting kerana idea yang kreatif mesti melalui proses ini.

Pada 8 Januari, aktiviti demonstrasi pembuatan sabun sempena program “SOAP2DAY” ini telah diadakan untuk pelajar UPM. Seramai 20 peserta menyertai aktiviti demonstrasi pembuatan sabun “SOAP2DAY” yang terdiri daripada pelajar UPM. Penceramah jemputan iaitu Puan Norahanim bin Mohd Jais telah melakukan demonstrasi pembuatan sabun daripada minyak masak terpakai yang telah dikumpul serta berkongsikan maklumat-maklumat penting tentang bahan dan cara membuat sabun melalui pelbagai cara. Selain pengisian bagi memupuk kesedaran kepentingan kitar semula minyak masak, peserta juga berpeluang belajar membuatsabun buku dengan menggunakan minyak masak terpakai.

Tarikh Input: 20/02/2023 | Kemaskini: 20/02/2023 | muhamadzulwaqa

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXDdGAr~