INNOVATION FUN DAY 2.0 DEKATKAN MAHASISWA UPM DENGAN KOMUNITI ORANG ASLI | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» ARTIKEL » INNOVATION FUN DAY 2.0 DEKATKAN MAHASISWA UPM DENGAN KOMUNITI ORANG ASLI

INNOVATION FUN DAY 2.0 DEKATKAN MAHASISWA UPM DENGAN KOMUNITI ORANG ASLI

INNOVATION FUN DAY 2.0 DEKATKAN MAHASISWA UPM DENGAN KOMUNITI ORANG ASLI

Oleh: Amira Rashida Binti Tajol Azha

Sungai Gabai, Hulu Langat – Seramai 28 orang mahasiswa dari Kursus Kokurikulum Berkredit Inovasi dan Reka Cipta (QK1 2101) kumpulan 1, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan program Innovation Fun Day 2.0 pada 30 November sehingga 1 Disember yang lalu.

Penganjuran program selama dua hari ini merupakan inisiatif program khidmat komuniti bagi membantu meningkatkan kesejahteraan komuniti Orang Asli yang merupakan golongan sasar yang masih terpinggir melalui pendekatan inovasi sosial (social innovation). Selain itu, program  memberi penekanan kepada mahasiswa untuk berfikir secara kritis, kreatif, inovatif, analitis dengan berkebolehan mengaplikasikan kemahiran teknikal dan insaniah bagi membantu golongan sasar bagi mengimbangi komuniti di bandar dan luar bandar selari dengan hasil pembelajaran bagi kursus Kokurikulum Berkredit Inovasi dan Reka Cipta.

Menurut pengarah program, Pravin Rao A/L Santheran berkata program ini dianjurkan berdasarkan masalah atau isu yang agak meruncing; di mana anak-anak orang asli di perkampungan tersebut tidak minat untuk bersekolah dan tiada dorongan yang kuat daripada ibubapa mereka sendiri.

“Hasil daripada temubual kami bersama beberapa individu di situ termasuklah penggerak dan sukarelawan di kawasan tersebut serta pihak JAKOA sendiri, kami dapati bilangan anak-anak orang asli yang bersekolah kurang daripada lima orang. Kami merasakan ini satu isu yang perlu diambil berat kerana pendidikan adalah sangat penting bagi meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan komuniti tersebut khususnya”.

“Dengan penganjuran program ini, usaha kami bagi membantu untuk membuka minda komuniti orang asli di luar bandar, terutamanya anak-anak orang asli dalam menarik minat mereka ke arah pendidikan dapat diketengahkan”, tambahnya.

Pengisian utama program ini adalah aktiviti Games Station, iaitu aktiviti yang menggunakan pendekatan hands-on menjurus kepada pendidikan interaktif dan praktikal bertujuan menarik minat kanak-kanak serta membuka minda ibubapa kepada keseronokkan belajar dan pendidikan. Kesemua idea inovasi di dalam aktiviti-aktiviti Games Station ini dihasilkan oleh mahasiswa sendri mengikut kesesuaian tahap pendidikan kanak-kanak tersebut.

Turut diadakan adalah sesi demonstrasi penggunaan produk komersial UPM iaitu Thohira Synbiotic oleh Ketua Pegawai Eksekutif Halways Sdn. Bhd., Muhamad Akhmal Hakim  dan Shuhaimi Mustafa, penyelidik UPM bagi memberi pendedahan tentang teknik-teknik mengurangkan kos ternakan ikan menggunakan produk tersebut di samping tajaan produk Thohira Synbiotic bernilai RM15,000 kepada komuniti orang asli bagi membantu meningkatkan ekonomi perikanan yang menjadi sumber ekonomi utama mereka di situ selain madu kelulut dan hasil hutan. Halways Sdn. Bhd. merupakan salah sebuah syarikat start-up UPM di bawah program validasi pasaran InnoHub.

Antara pengisian lain yang dijalankan sepanjang program ialah ziarah dan pemberian sumbangan barangan keperluan asas  kepada semua keluarga orang asli, malam kebudayaan, free market,  belajar membuat terrarium, penyerahan produk Dekoponix yang merupakan produk inovasi UPM kepada komuniti  dan senam robik.

Sementara itu, Hafliza Hussin, fasilitator kursus tersebut dan juga merupakan Pegawai Eksekutif di Putra Science Park UPM berkata, program komuniti ini  merupakan sebahagian daripada penilaian kepada mahasiswa bagi melengkapkan pengajian dan syarat untuk mereka graduated (tamat pengajian).

“Program yang dianjurkan perlu menerapkan pembangunan amalan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran terutamanya dalam aspek pemikiran kritis dan penyelesaian masalah yang diaplikasi melalui penganjuran program simulasi dan program komuniti dengan bimbingan fasilitator bagi mendapat impak pembelajaran secara holistik atau menyeluruh”.

“Mahasiswa juga turut dideahkan dengan produk-produk komersial universiti bagi memberi serta menyemai minat mahasiswa terhadap keusahawanan teknologi dan inovasi”.

Program yang mendapat kerjasama pihak JAKOA, Putra Science Park (PSP) UPM serta dua lagi  persatuan di bawah UPM iaitu Sahabat Masjid dan Putra Cycling Club telah disertai oleh 100 orang komuniti Orang Asli di Perkampungan Sungai Gabai termasuklah kanak-kanak, remaja dan dewasa.

Tarikh Input: 14/01/2020 | Kemaskini: 14/01/2020 | hairulnizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXESJAU~