Program Syoknya Ping Pong | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» ARTIKEL » Program Syoknya Ping Pong

Program Syoknya Ping Pong

“Program Syoknya Ping Pong” Bersama Komuniti

Oleh: Vishantini A/P Sethumadavan

BANTING 30 November – 1 Disember, - Satu program “Syoknya Ping Pong” telah dianjurkan oleh pelajar-pelajar Kursus Ping Pong (OKS2114) Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang bertempat di Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin, Banting, Selangor. Program ini bertujuan untuk mendedahkan tentang kemahiran asas ping pong kepada komuniti anak-anak yatim di rumah anak yatim tersebut. Ia dilaksanakan untuk memupuk serta menanam semangat kesukanan dalam kalangan anak-anak yatim serta memberi serba sedikit informasi mengenai permainan asas ping-pong dan menarik minat mereka dalam menceburi sukan ping pong ini. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk mendekatkan diri dengan komuniti anak-anak yatim serta memberi sedikit motivasi dalam pembelajaran untuk membantu mereka.

      Pada hari pertama iaitu 30 November 2019, seramai 51 orang kanak-kanak Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin yang berusia 5 tahun hingga 17 tahun melibatkan diri dalam program ping pong ini. Menurut pengarah program ini, Ravindar Singh A/L Santok singh dan pengurus rumah anak-anak yatim tersebut, Tuan Haji Maulana Bin Mahmud, program ini telah mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan kanak-kanak. Program ini telah memberi kesedaran kepada kanak-kanak mengenai kehebatan permainan ping-pong.  Oleh sebab kekangan masa, kewangan dan peralatan, program ini hanya dapat dijalankan selama 2 hari satu malam.

      Program berlangsung pada jam 9 pagi hingga 10.30 malam pada hari pertama dan 8.30pagi hingga 1.30 petang pada keesokkan harinya. Sebelum program bermula, para kanak-kanak telah dibahagikan kepada lima kumpulan yang diketuai oleh pelajar- pelajar kursus ping pong yang sedia memberi tunjuk ajar. Setiap kumpulan dipantau oleh dua orang fasilitator, iaitu pelajar daripada kursus ping-pong. Program ini dimulakan dengan sesi “ice- breaking”. Sesi ini diketuai oleh pelajar kursus ping-pong iaitu, Muhammad Nabil Bin Anuar. Setelah selesai aktiviti “ice- breaking”, aktiviti Senamrobik di jalankan oleh Ahmad Syahir Bin Mohd Yusof. Senamrobik ini bertujuan utuk memaskan badan sebelum bermulanya pembelajaran ping pong. Fasilitator kursus ini telah bertindak menjadi jurulatih untuk mengendalikan bengkel  ini.

Encik Abdul Raub bin Abdurahman, fasilitator Kursus Ping Pong (OKS2114) menjadi pengajar dalam sesi pembelajaran asas kemahiran ping pong. Antara kemahiran asas yang diajar ialah cara memegang “bat” ping pong mengawal dan mengimbang bola ping pong, cara melakukan “back spin”, “top spin” dan “side spin” serta memukul dan menerima bola. Fasilitator setiap kumpulan memantau dan membantu bagi melancarkan sesi pembelajaran pada petang itu.

Pada waktu malam, sesi tunjuk ajar akademik telah dijalankan oleh pelajar- pelajar kursus ping pong. Fasilitator setiap kumpulan berkumpul di satu tempat dan berkongsi pengalaman mereka mengenai akademik di sekolah serta memberi serba sedikit tunjuk ajar mengenai cara-cara untuk skor dalam pelajaran. Kanak-kanak begitu peka dengan segala nasihat dan teguran yang diberi oleh fasilitator kumpulan tersebut. Sebelum selesai sudah hari pertama, pengarah program iaitu Ravinder Singh telah memberi taklimat mengenai program pada keesokan harinya.

Pada hari yang seterusnya, iaitu 1 Disember 2019, setelah selesai rutin pagi, permainan kecil dijalankan antara kanak-kanak tersebut berdasarkan kemahiran asas ping pong telah diajar. Antara permainan yang telah diadakan adalah hantaran bola, tangkap bola itu, penstablian, pukul dan sambut, serta kawal, pukul dan lari. Semua permainan ini diadakan secara berkumpulan dan setiap kumpulan dipantau oleh 2 orang fasilitator. Ketika aktiviti sedang berlangsung, kedatangan Puan Flora, fasilitator khas daripada Pusat Kokurikulum Universiti Putra Malaysia bertujuan untuk memantau program yang dijalankan. Pujian daripada beliau diterima oleh kami kerana program sebegini julung kali diadakan oleh kursus kokurikulum ping pong. Kanak-kanak begitu seronok melibatkan diri dalam semua permainan tersebut. Melalui permainan ini, sikap bekerjasama serta tolong-menolong telah disemai dalam jiwa kanak-kanak tersebut.

      Menurut seorang peserta, Abu, “Saya sangat bersyukur kerana dapat menyertai program ping pong ini. Saya telah belajar pelbagai teknik bermain ping pong.” Seorang lagi peserta, Almas, berkata “Saya amat bertuah kerana terpilih untuk menyertai program ping pong ini. Saya tidak menyesal dan amat menghargai peluang ini.” Terdapat juga seorang peserta yang bernama Umairah berkata, “ Saya rasa teruja nak masuk UPM apabila tengok kakak-kakak kat sini.” Semua peserta meluangkan hari minggu mereka dengan bermanfaat dan gembira. Sepanjang program dijalankan, para kanak-kanak telah mengambil bahagian dan memberi kerjasama dengan bersungguh-sungguh.

     Akhir sekali, penutupan program ini telah dirasmikan oleh Encik Abdul Raub bin Abdurahman, fasilitator Kursus Ping Pong (OKS2114).  Selain itu, Encik Abdul Raub, fasilitator kursus ini telah menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi slot permainan kecil. Hadiah-hadiah turut diberikan kepada pemenang cabutan bertuah dan sedikit sumbangan juga diberi kepada pihak Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin. Sumbangan yang diberikan adalah berbentuk wang ringgit dan sedikit barang runcit. Majlis bersurai pada jam 12.30 tengah hari. Diharapkan program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Tarikh Input: 10/01/2020 | Kemaskini: 10/01/2020 | hairulnizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXEQWAF~