‘We Care 4 U’ BSMM @ PD | CO-CURRICULUM AND STUDENT DEVELOPMENT CENTRE
» ARTICLE » ‘We Care 4 U’ BSMM @ PD

‘We Care 4 U’ BSMM @ PD

KERJASAMA TIGA PIHAK ANTARA BSMM UPM, JABATAN KEMAJUAN MASYARAKAT (KEMAS) DAN KARIAH MASJID TELOK KEMANG MENYUMBANG IMPAK POSTITIF KEPADA MASYARAKAT

Oleh: Hasanah bt Johari


TELOK KEMANG 7 Disember 2019- Program ‘We Care 4 U’ BSMM @ PD telah dianjurkan di Masjid Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan oleh Bulan Sabit Merah Malaysia Chapter Universiti Putra Malaysia di bawah Kursus Kokurikulum Berkredit (BSMM 1) Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia. Program yang di bawah bimbingan dua orang fasilitator, Pn Norfazilah bt Abdullah dan En. Wahab bin Chik ini telah mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Kariah Masjid Telok Kemang.


Program khidmat masyarakat yang dianjurkan telah melibatkan seramai 58 orang pelajar Bulan Sabit Merah Malaysia dan bertujuan untuk meningkatkan semangat kesukarelawanan dan kemahiran sosial para pelajar. Dengan adanya program seperti ini, para pelajar dapat menambah ilmu pengetahuan dan mengukuhkan ilmu yang sedia ada dengan mencurahkan kembali apa yang dipelajari kepada masyarakat setempat. Hal ini
sekaligus dapat mengasah kemahiran insaniah para pelajar dari segi kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan

Program bermula dengan majlis perasmian dan dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Mohd Hanapi bin Mohd Zain selaku ahli pembandaran Port Dickson, zon Teluk Kemang. Turut hadir dalam majlis perasmian, Encik Mohd Syawal bin Sayuti selaku pegawai pemantau pusat kokurikulum dan pembangunan pelajar, Pn Monaliza bt Nasir, wakil daripada tadika KEMAS Teluk Kemang dan Dr. Aditya Adawiyah bt Darwisy selaku pegawai perubatan UPM. Majlis kemudiannya diteruskan dengan aktiviti program iaitu ceramah ‘Diet Sihat dan Tak Nak Merokok’ selama 30 minit oleh Dr. Aditya Adawiyah. Seusai ceramah, program diteruskan dengan agenda program iaitu pertandingan mewarna untuk pelajar-pelajar Tadika KEMAS dan ‘1st Aid For Every HomeSkill Station’ serta pameran kesihatan untuk ibu bapa, guru-guru tadika KEMAS dan kariah Masjid Telok Kemang. Menerusi aktiviti ini, pelbagai ilmu dan kesedaran berkaitan kesihatan diberikan kepada masyarakat. Masyarakat diberikan ilmu asas pertolongan cemas dari segi luka terbakar, patah tulang, terseliuh, angkutan dan bermacam-macam lagi. Penglibatan masyarakat ketika itu sangat mengangumkan dan respon yang diberikan adalah sangat positif. Pelajar-pelajar juga dapat meningkatkan dan memperbaiki skil dan kemahiran komunikasi dua hala. Pendek kata, program seperti ini memberikan impak positif kepada dua-dua pihak.

Seusai program, majlis penutup telah dijalankan, sebanyak 20 hadiah telah diberikan kepada pelajar-pelajar Tadika KEMAS yang menang. Selain itu, gimik penutupan program juga telah dilancarkan oleh Dato Hanapi. Menurut Dato Hanapi dalam ucapannya, ‘Program seperti inilah yang diharapkan masyarakat. Jika ada yang menyumbang ilmu kepada kita, seharusnya kita menerimanya dengan baik dan berkongsi dengan orang lain. Anak-anak kita yang sekecil ini juga sewajarnya diberikan ilmu asas pertolongan cemas dan kesedaran tentang diet sihat dan keburukan merokok,’.

Pada sebelah petang, pelajar-pelajar Bulan Sabit Merah Malaysia sekali lagi berkhidmat dengan komuniti. dengan bergotong-royong membersih dan menceriakan kawasan Masjid Telok Kemang dan tadika KEMAS. Para pelajar telah dibahagikan kumpulan dengan untuk membersihkan kawasan luar dan dalam masjid manakala segelintir pelajar lagi menyumbang tenaga dalam menceriakan kawasan tadika dengan mengecat dinding. Dalam masa yang sama, En Wahab bin Chik juga turut menyumbang bakti dengan memberikan ilmu dalam pertolongan cemas kepada semua staf guru tadika KEMAS melalui bengkel ‘1st Aid Every Home’ selama empat jam.

Secara keseluruhannya, program ini telah mendapat sambutan dan kerjasama yang baik daripada pelajar mahupun komuniti di Teluk Kemang itu sendiri. Setiap aktiviti yang dijalankan telah berjaya meninggalkan impak besar dalam diri setiap pelajar dan pengalaman berharga yang tidak mungkin dapat dilupakan. Setinggi-tinggi penghargaan juga telah diberikan kepada kariah Masjid Telok Kemang dan Tadika KEMAS Telok Kemang kerana telah banyak membantu menjayakan program ini terutamanya dari segi peralatan dan tempat program. Semua pelajar diharapkan dapat memanfaatkan pengalaman dan ilmu yang diperoleh daripada aktiviti kemasyarakatan di Telok Kemang, Port Dickson ini.

Date of Input: 15/01/2020 | Updated: 15/01/2020 | hairulnizam

MEDIA SHARING

CO-CURRICULUM AND STUDENT DEVELOPMENT CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXEUDAY~