DARIPADA KELAS KEPADA KOMUNITI: SEMANGAT KEUSAHAWANAN MENGASAH KEMAHIRAN INSANIAH PELAJAR | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» ARTIKEL » DARIPADA KELAS KEPADA KOMUNITI: SEMANGAT KEUSAHAWANAN MENGASAH KEMAHIRAN INSANIAH PELAJAR

DARIPADA KELAS KEPADA KOMUNITI: SEMANGAT KEUSAHAWANAN MENGASAH KEMAHIRAN INSANIAH PELAJAR

Pengenalan

Selari dengan hasrat negara untuk melahirkan graduan yang bersifat holistik, pelaksanaan sistem pendididikan perlu seimbang antara pencapaian akademik dengan kemahiran insaniah. Aktiviti kokurikulum dilaksanakan bagi memastikan pelajar bukan sahaja kompeten secara akademik di dewan kuliah malah mampu mengaplikasikan ilmu teknikal dan menyantuni masyarakat. Salah satu kemahiran insaniah yang perlu dipupuk pada masa kini adalah semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar universiti. Malah daripada semangat keusahawanan yang dijalankan dengan komuniti bukan sahaja meningkatkan semangat keusahawanan tetapi turut menyumbang kepada proses pembangunan kendiri dan kerja berkumpulan dalam kalangan pelajar universiti. Artikel ini bertujuan untuk meninjau peranan usahawan dan semangat keusahawanan yang perlu dibangunkan daripada universiti dan bagaimana khidmat komuniti dan prosesnya mampu memupuk kemahiran insaniah pelajar universiti untuk menjadi graduan yang berjaya secara holistik.

Peranan Usahawan dan Keusahawanan di Universiti

Peranan keusahawanan adalah malampaui manfaat ekonomi menerusi peranan sektor perniagaan kecil dan sederhana yang menyumbang kepada pendapatan negara dan mencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat. Usahawan juga adalah individu yang suka menagambil risiko dan mencipta inovasi bagi memenuhi keperluan dan kemahuan masyarakat semasa. Masyarakat akan mempunyai pelbagai pilihan dan ini akan meningkatkan taraf hidup masyarakat secara umumnya.

Antara usahawan yang juga merupakan ahli akademik yang tersohor dalam bidang ekonomi ialah Professor Muhammad Yunus. Ketika mengajar subjek ekonomi beliau mula sedar kesempitan hidup majoriti pelajarnya yang bergelumang dengan kemiskinan di Dhaka, Bangladesh. Justeru beliau mengambil inisiatif untuk memperkenalkan skim kewangan kredit secara mikro yang akhirnya membawa kepada konsep daripada kelas kepada komuniti. Skim kredit yang berasaskan tanggungjawab sesama ahli ini menjadikan beliau diangkat menjadi Pemenang Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 2006.

Beliau bukan sahaja pelajar pintar yang menerima biasiswa dan kompeten secara akademik malah seimbang dengan kemahiran insaniah di mana beliau tidak hanya membantu diri dan keluarganya malah memberi kembali atau menyumbang kepada komuniti beliau dan memperkenalkan Projek Grameen dengan memberikan pinjaman mikro kepada usahawan kecil dan mikro. Skim tersebut telah dipinjam bukan sahaja oleh negara kita Malaysia malah oleh negara maju termasuk Amerika Syarikat.

Oleh itu, mencontohi semangat Professor Muhammad Yunus, keusahawanan perlu dibentuk selari dengan membangunkan kemahiran teknikal dan akademik. Kokurikulum keusahawanan dapat meningkatkan kemahiran insaniah menerusi dua aspek iaitu pertama: pembangunan kendiri seperti berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah dan beretika. Kedua, pelajar dapat membangunkan kemahiran berpasukan seperti kemahiran berkomunikasi, kerja secara berkumpulan dan semangat kepimpinan dalam kalangan pelajar.


Foto: Pelajar Kumpulan 1 QKH2104 Sem 2, 2019/2020 bersama sebahagian usahawan AIM


Kemahiran Insaniah dan Khidmat Komuniti

Kemahiran insaniah dapat dibentuk dengan aktiviti kokurikulum yang melibatkan komuniti dan kemahiran teknikal keusahawanan. Antara aktiviti keusahawanan yang dijalankan adalah aktiviti memasarkan produk atau perkhidmatan dan urusan jual beli. Nampak mudah, tapi aktiviti ini memerlukan usaha penyelesaian masalah selain kudrat fizikal. Sebelum menjual atau melakukan aktiviti pamasaran misalnya, pelajar perlu meneliti sasaran pelanggan, harga jualan berbanding yang sedia ada dan pelbagai cabaran lain. Pengalaman penulis dengan pelajar Usahawan Siswa (QKH2104), Universiti Putra Malaysia selama beberapa tahun pernah mengalami pelbagai peristiwa berharga.

Antaranya, semasa program simulasi dijalankan menerusi jualan makanan, ada satu kumpulan pelajar yang mengalami kerugian dalam menjana pendapatan untuk program komuniti mereka. Kegagalan kecil mereka disebabkan idea menjual ais krim 1 Malaysia di mana semuanya tidak membeku seperti ais krim. Akibatnya mereka terpaksa meletakkan ais krim yang cair di dalam cawan dan mengurangkan kerugian. Walaupun rugi tapi mereka cuba untuk mengurangkan kerugian dan belajar lebih berhati -hati pada masa hadapan.

 

 
Foto: Sebahagian pelajar Usahawan Siswa QKH2104 Sem 2, 2021/22 dengan tema patriotisma dan pelajar mengenakan busana tradisional dan kepelbagaian bangsa di Malaysia.

Berkongsi pengalaman meninjau program komuniti, pelbagai pengalaman dapat dikutip menerusi pemerhatian terhadap sikap dan aktiviti para pelajar. Program bersama komuniti dapat meningkatkan kemahiran insaniah seperti semangat berkumpulan antara pelajar selain bekerja dengan pihak luar. Pelajar universiti perlu mengharungi proses belakang tabir dalam melaksanakan majlis bersama dengan pihak luar. Daripada mendapatkan penceramah program, membuat poster iklan majlis yang bakal dilaksanakan secara berkesan sehinggalah kepada aturcara semasa program yang dijalankan.

oleh:
Syamsulang bin Hj. Sarifuddin
Fasilitator Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB)
QKH2104: Usahawan Siswa

Tarikh Input: 07/03/2023 | Kemaskini: 07/03/2023 | muhamadzulwaqa

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXFZSAV~