Hari Terbuka Inovasi Dan Reka Cipta Hijau Dedahkan Peserta Kepada Budaya Inovasi Dan Reka Cipta | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» ARTIKEL » Hari Terbuka Inovasi dan Reka Cipta Hijau dedahkan peserta kepada budaya inovasi dan reka cipta

Hari Terbuka Inovasi dan Reka Cipta Hijau dedahkan peserta kepada budaya inovasi dan reka cipta

Hari Terbuka Inovasi dan Reka Cipta Hijau dedahkan peserta kepada budaya inovasi dan reka cipta

Oleh: Zulzafry Zulkifly


SERDANG 7 Disember – Kelas Inovasi dan Reka Cipta Universiti Putra Malaysia (InnoPutra) dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk (JKP) Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Zon 20 dan Putra Science Park telah mengadakan satu program bertemakan inovasi dan reka cipta hijau iaitu ‘Green Innovation And Invention Open Day 2019’ bertempat di Kompleks Akademik A, Universiti Putra Malaysia pada 7 Disember 2019, Sabtu bermula jam 9 pagi hingga 5 petang. Pelbagai program telah diadakan pada hari tersebut seperti pertandingan inovasi dan reka cipta, bengkel upcycling, pengenalan kepada bisnes model kanvas kepada peserta pertandingan dan juga permainan stesen berkaitan inovasi dan reka cipta. Permainan ini diperkenalkan sebagai salah satu cara untuk mempromosikan idea inovasi dan reka cipta kepada orang ramai.

Majlis telah dirasmikan oleh Encik Yusran Bin Abdullah, Timbalan Pengerusi JKP Zon 20. Encik Yusran juga telah meluangkan masa hampir satu jam untuk melawat hasil inovasi dan reka cipta peserta yang dipertandingkan pada hari kejadian. Beliau telah menyatakan kepentingan untuk meneruskan program seperti ini pada masa hadapan sesuai dengan Dasar Teknologi Hijau Kebangsaan yang menjadikan teknologi hijau sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah pembangunan yang mapan.


Pertandingan inovasi dan reka cipta hijau telah diadili oleh empat orang juri berpengalaman iaitu Puan Fadzlina Binti Mahamad Razi, Pegawai Kanan Yayasan Inovasi Malaysia, Encik Mazlan Bin Markon, Konsultan Majlis Rekabentuk Malaysia, Ts. Encik Raymond Ong, Timbalan Presiden Lembaga Teknologis Malaysia dan Encik Abdul Qayyum Adzim Azmi, , Penolong Pengurus Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC). Pertandingan inovasi dan reka cipta hijau telah menawarkan hadiah yang wang tunai bernilai RM 550.00 untuk empat kategori iaitu Juara Keseluruhan, Juara Inovasi, Juara Reka Cipta dan Anugerah Saintis Muda. Selain itu, pemenang bagi kategori Emas, Perak dan Gangsa telah membawa pulang trofi iringan dan sijil penyertaan. Melalui program ini juga, pengunjung telah diperkenalkan dengan konsep upcycling. Upcycling ialah satu proses transformasi produk yang sudah tidak digunakan menjadi sesuatu yang lebih bermanfaat dan mempunyai nilai yang lebih baik berbanding produk asal. Bengkel upcycling dari syarikat Palletuk Tukang Kayu telah memberi pendedahan kepada peserta untuk menghasilkan dulang hantaran daripada kayu pallet terbuang. Menariknya, setiap peserta yang mengikuti bengkel ini dapat membawa pulang dulang hantaran tersebut secara percuma. Pihak penganjur juga telah menyediakan pelbagai hadiah bagi pemenang permainan stesen dan sepuluh sesi cabutan bertuah telah diadakan sepanjang program berlangsung.

Program ini telah berjaya mencapai objektif penganjuran dengan menggalakkan peserta meneroka bidang inovasi dengan lebih meluas melalui aktiviti yang disediakan, mengasah kemahiran peserta menghasilkan produk inovasi hijau supaya dapat menghasilkan produk yang berkualiti yang sesuai untuk dikomersialkan dan memperkenalkan konsep Upcycling. Para peserta pertandingan inovasi dan reka cipta turut menyatakan keterujaan mereka dalam menyertai pertandingan inovasi dan reka cipta seperti ini. Kredibiliti dan kepakaran setiap juri serta pengisian program telah menjadikan program ini lebih bermanfaat dan bernilai bagi peserta sekaligus berharap agar program ini dapat diteruskan pada tahun seterusnya dengan tema yang lebih menarik.


Di akhir program, acara penyampaian hadiah yang telah disempurnakan oleh Encik Abdul Qayyum Adzim Azmi, Ts. Encik Raymond Ong dan Cik Farah Ayuni Binti Fauzi, Fasilitator Kelas Inovasi dan Reka Cipta kepada para pemenang. Kumpulan Jejari hijau dari Kolej Matrikulasi Melaka yang membawa produk ‘Veg-Blum’ telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan. Kumpulan IND Sempoi dari Fakulti Rekabentuk dan Seni Bina UPM telah menjuarai kategori inovasi manakala kumpulan Natural Product Lab daripada Institut Biosains UPM telah dinobatkan sebaga juara reka cipta. Kolej Matrikulasi Selangor dari kumpulan Genius Young Mind pula telah membawa pulang Anugerah Saintis Muda.

Tarikh Input: 06/01/2020 | Kemaskini: 06/01/2020 | hairulnizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXDdCAy~