PENJAWAT AWAM TERUS MENYOKONG KERAJAAN BERPAKSIKAN INTEGRITI, ADIL | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» ARTIKEL » PENJAWAT AWAM TERUS MENYOKONG KERAJAAN BERPAKSIKAN INTEGRITI, ADIL

PENJAWAT AWAM TERUS MENYOKONG KERAJAAN BERPAKSIKAN INTEGRITI, ADIL

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekali lagi menyaksikan perubahan kerajaan tetapi nampaknya mengambil masa apabila tiada gabungan parti memperoleh majoriti mudah.

Justeru, sudah pasti komitmen, kesetiaan dan profesionalisme setiap anggota perkhidmatan awam akan terus diuji sama seperti PRU14 apabila Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan Persekutuan dan peralihan daripada PH kepada Perikatan Nasional (PN) berlatarbelakangkan kemelut politik.

Apapun tiada sesiapa perlu risau kerana penjawat awam terbukti boleh bertindak penuh profesional dan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip menyokong dan mendukung kerajaan semasa.

Dalam kenyataan media sejurus pengumuman keputusan PRU15, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, menzahirkan komitmen anggota perkhidmatan awam akan terus komited mendukung konsep neutrality dan kerajaan semasa.

Hakikatnya, penjawat awam membuktikan komitmen apabila sebelum ini menyokong dan berganding bahu bersama tiga Perdana Menteri dan Kabinetnya sejak PRU14 dalam memastikan kestabilan pentadbiran kerajaan serta kelangsungan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berjalan lancar terutama melaksanakan segala dasar dan perancangan dibuat.

Kali ini, pastinya tiada masalah untuk penjawat awam mengekalkan momentum komitmen dan sokongan tidak berbelah bahagi membantu kerajaan memulihkan negara pasca-COVID-19, terutama dalam aspek ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Dalam konteks ini, isu integriti menjadi pertaruhan penting. Melalui kerajaan baharu nanti, penjawat awam berpeluang cerah terus membuktikan sifat integriti sifat. Kita perlu membuktikan selama ini sudah bekerja penuh berintegriti walau dalam apa keadaan sekalipun. Maksudnya tidak kira siapa memerintah, kita perlu membuktikan tidak akan berkompromi dalam soal integriti. Barulah setiap kerajaan akan menghormati dan meletakkan keyakinan tinggi terhadap penjawat awam.

Ini juga masa terbaik untuk penjawat awam membuktikan boleh bertindak secara adil dan neutral tanpa berat sebelah serta memihak. Sekali lagi sikap profesionalisme kita akan diuji.

Laksana tugas dengan efisien 

Harus diingat baik kerajaan mahupun ahli politik akan datang dan pergi untuk tempoh setiap lima tahun. Parti memerintah semalam boleh jadi pembangkang pada hari ini, begitu juga sebaliknya dengan kerajaan semasa boleh jadi pembangkang dalam tempoh lima tahun akan datang kerana ia proses amalan demokrasi biasa.

Namun, penjawat awam dilantik akan berkhidmat secara tetap hingga bersara untuk tempoh cukup lama dan perlu berkhidmat kepada kerajaan semasa yang memerintah. Maka, penjawat awam perlu bijak berperanan supaya dapat melaksanakan tugas dengan efisien dalam kerangka sentiasa meletakkan keutamaan kepada kepentingan negara dan keperluan rakyat.

Bagi membuktikan komitmen, penjawat awam juga perlu terus menyokong, mendukung dan melaksanakan setiap dasar serta polisi bakal diperkenalkan kerajaan dalam membantu memulihkan kehidupan rakyat.

Sudah tentu kerajaan akan meletakkan harapan dan keyakinan tinggi terhadap komitmen kita dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab, sekali gus memantapkan peranan sebagai tulang belakang pentadbiran kerajaan memerintah.

Penjawat awam juga perlu berani menyuarakan pandangan dan pendapat apabila perlu demi kebaikan bersama kerana kita mempunyai tanggungjawab dalam memastikan setiap peraturan serta prosedur dipatuhi dengan betul.

Secara prinsipnya, penjawat awam perlu sentiasa ingat dan menghayati aku janji ditandatangani dan ikrar dilafazkan. Antara aku janji penjawat awam, akan sentiasa melaksanakan tugas sebagai pegawai dengan cermat, bersungguh-sungguh, cekap, jujur, amanah dan bertanggungjawab serta tidak akan membelakangkan tugas awam demi kepentingan peribadi.

Antara ikrar penjawat awam pula, bekerja ke arah memajukan pemikiran rakyat dan pembangunan negara serta bekerjasama dalam membanteras kelemahan dan musuh negara. Maka eloklah kita ambil peluang ini untuk mengotakan semua aku janji dan ikrar ini demi kemajuan bersama.

Justeru, gunakan kesempatan ini untuk menzahirkan komitmen bahawa penjawat awam akan terus membantu dalam menjamin kestabilan pentadbiran kerajaan melalui sokongan tidak berbelah bagi berpaksikan budaya kerja berintegriti, adil, profesional dan berprestasi tinggi.

UPM Beri Penganugerahan Sempena MGP, Sambutan Hari Pekerja | Universiti  Putra Malaysia

Tarikh Input: 20/02/2023 | Kemaskini: 20/02/2023 | muhamadzulwaqa

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXESTAW~