Program Komuniti Bersih Ukhuwah Terjalin 2019 | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» ARTIKEL » Program Komuniti Bersih Ukhuwah Terjalin 2019

Program Komuniti Bersih Ukhuwah Terjalin 2019

YB Tuan Muslimin Yahaya Rasmi Penutupan Program Komuniti Bersih Ukhuwah Terjalin

Oleh: Izzah Mohamad Zamri

 

SEKINCHAN, 17 Nov – Ahli Parlimen Sungai Besar, YB Tuan Muslimin Bin Yahaya telah menyempurnakan majlis perasmian penutupan Program Komuniti Bersih Ukhuwah Terjalin 2019 di Perpustakaan Desa Parit 7, Parit 7 Sungai Leman, Sekinchan, Selangor. Perasmian turut disaksikan oleh Prof. Madya Dr. Siti Suriawari Isa, timbalan pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia.

Dalam ucapannya, beliau amat menggalakkan pelajar untuk melibatkan diri dengan program luar daripada bidang pengajian di samping mengasah soft skill dan bakat kepimpinan dalam diri pelajar, sesuai dengan objektif program dijalankan. Beliau yang juga merupakan graduan Universiti Putra Malaysia berasa bangga dengan penglibatan aktif pelajar melakukan program khidmat masyarakat seperti yang telah dijalankan di kampung tersebut.

Program Komuniti Bersih Ukhuwah Terjalin merupakan anjuran Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Kursus Bakti Siswa (QKK 2101) Kumpulan 9, Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Jkkk Kampung Parit Tujuh Baroh Sungai Leman. Program yang dijayakan oleh 28 orang pelajar Kursus Bakti Siswa telah berlangsung pada 15-17 November.

Program ini dipenuhi dengan aktiviti padat bersama keluarga angkat dan juga penduduk kampung. Kehadiran semua pelajar disambut meriah oleh penduduk kampung. Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang berada di kampung tersebut ialah gotong-royong, pertandingan memasak bersama keluarga angkat, sukaneka dan ceramah maulidur rasul. Tidak lupa juga aktiviti mengutip remis yang dilakukan di Pantai Labu, Kampung Parit Tujuh.

Disamping melakukan khidmat masyarakat dan beramah-mesra dengan orang kampung, pelajar juga turut mendekati 13 keluarga asnaf di kampung berkenaan dan menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik. Sumbangan yang diberi dalam bentuk keperluan asas seperti minyak masak dan beras merupakan sumbangan masyarakat setempat di sekitar UPM dan Serdang.

Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) kampung Parit Tujuh Baroh turut bekerjasama membantu pelajar melakukan pemeriksaan kesihatan percuma kepada warga asnaf dan penduduk kampung.

Program ini bagaimanapun telah mencapai objektifnya. Jelas terpancar keceriaan pada wajah pelajar sepanjang berada di kampung tersebut. Mereka gembira dengan kejayaan program dan berharap akan terus menabur khidmat bakti di mana sahaja mereka berada.

 

Tarikh Input: 16/01/2020 | Kemaskini: 16/01/2020 | hairulnizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXDdXA3~