“Program Ping Pong And Chill” Menarik Minat Para Pelajar | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» ARTIKEL » “Program Ping Pong And Chill” Menarik Minat Para Pelajar

“Program Ping Pong And Chill” Menarik Minat Para Pelajar

Oleh: Mayoora Nair dan Ng Loke Yiing

SERDANG 21 April, - Satu program “Ping Pong And Chill” telah diadakan di Dewan Sekolah Kebangsaan Taman Sungai Besi Indah yang dianjurkan oleh pelajar-pelajar Kursus Ping Pong (OKS2114) Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM). Program ini adalah berbentuk bengkel dan dikhususkan untuk pelajar-pelajar Tahun 5 dan Tahun 6. Ia dilaksanakan untuk memupuk serta menanam semangat kesukanan dalam kalangan pelajar sekolah.

      Pada hari itu, seramai 57 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Sungai Besi Indah menghadiri program ping pong ini. Menurut pengarah program ini, Ee Yu Xuan dan Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Kebangsaan Taman Sungai Besi Indah, Encik Mahindran program ini telah mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan pelajar. Program ini mendapat permintaan yang tinggi iaitu lebih daripada 100 orang peserta. Oleh sebab kekangan masa, kewangan dan peralatan,  program ini hanya dapat menampung 55 orang peserta sahaja. Tetapi, sebelum program bermula, terdapat dua orang pelajar yang membuat pendaftaran secara ‘walk in’ dan telah membawa peralatan yang lengkap. Oleh itu, pihak pendaftaran telah menerima kedua-dua pelajar tersebut.

      Program berlangsung pada jam 8 pagi hingga 5 petang. Sebelum program bermula, para pelajar telah dibahagikan kepada lima kumpulan yang diketuai oleh pelajar- pelajar kursus ping pong yang sedia memberi tunjuk ajar. Program ini dimulakan dengan bengkel yang mendedahkan teknik bermain ping pong dengan betul kepada pelajar. Fasilitator kursus ini telah bertindak menjadi jurulatih untuk mengendalikan bengkel  ini.

     Menurut Encik Abdul Raub, fasilitator kursus ini, “Para peserta didedahkan dengan teknik bermain ping pong sepanjang program berlangsung. Ini dapat mencungkil bakat serta menarik minat mereka terhadap sukan ini sejak kecil lagi”. Bagi memantapkan teknik yang telah diajar, slot “Mini Games“ telah dijalankan.  Antara permainan yang dimainkan ialah “Corner Strike”, “Catch The Ball” dan “Balancing”.

      Menurut seorang peserta, Rania, “Saya sangat bersyukur kerana dapat menyertai program ping pong ini. Saya telah belajar pelbagai teknik bermain ping pong.” Seorang lagi peserta , Ruben, berkata “Saya amat bertuah kerana terpilih untuk menyertai program ping pong ini. Saya tidak menyesal dan amat menghargai peluang ini.” Semua peserta meluangkan hari minggu mereka dengan bermanfaat dan gembira. Sepanjang program dijalankan, para peserta telah mengambil bahagian dengan bersungguh-sungguh.

     Akhir sekali, penutupan program ini telah dirasmikan oleh Cikgu Nazri Bin Abdullah, wakil dari pihak Sekolah Kebangsaan Taman Sungai Besi Indah. Beliau telah menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi slot “Mini Games”. Majlis bersurai pada jam 5.30 petang. Diharapkan program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Tarikh Input: 29/05/2019 | Kemaskini: 29/05/2019 | hairulnizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXEUMAt~