Aktiviti Plogging: 26 Plastik Berisi Sampah Berjaya Dikumpul, Buatkan Pelajar UPM Terkesan... | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» BERITA » Aktiviti plogging: 26 plastik berisi sampah berjaya dikumpul, buatkan pelajar UPM terkesan...

Aktiviti plogging: 26 plastik berisi sampah berjaya dikumpul, buatkan pelajar UPM terkesan...

Aktiviti plogging: 26 plastik berisi sampah berjaya dikumpul, buatkan pelajar UPM terkesan...
 
NUR AMIRAH AHMAD TARMIZI, UPM Khamis | 21 Mac 2019
 

SERDANG - Seramai 30 orang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan tiga pelajar antarabangsa dari kelas kokurikulum Gordang Sambilan (QKB211) telah menyertai aktiviti plogging atau aktiviti joging sambil mengutip sampah di sekitar kawasan dilalui anjuran Putra Bakti pada Sabtu lalu.

Aktiviti yang turut disertai staf UPM ini juga merupakan projek mini bagi peserta kumpulan tersebut bertujuan untuk membersihkan dipenuhi sampah–sarap di samping menyihatkan tubuh badan dan menerapkan nilai murni kepada para peserta mengenai alam sekitar.

Aktiviti dengan tanda pagar #Trashtag yang dijalankan di sekitar jalan utama Hospital Serdang, Selangor bermula sekitar jam 8 pagi dan berakhir 2 jam kemudian.

 

Selain melibatkan pelajar, ia turut disertai keluarga dan anak-anak staf UPM. (FOTO UPM)

 

Sebelum aktiviti dijalankan, penyelaras aktiviti, Rafidah Sadarudin terlebih dahulu memberikan taklimat mengenai cara untuk plogging seperti bahan-bahan yang dibuang dan bahan-bahan boleh dikitari semula.

Selepas tamat taklimat ringkas, para peserta diagihkan kepada dua kumpulan bagi memudahkan kerja plogging. Setelah dibahagikan kepada kumpulan masing-masing, para peserta diberikan alatan untuk aktiviti plogging iaitu plastik dan alatan mengutip sampah.

 

Ativiti plogging diadakan di sekitar jalan utama Hospital Serdang. (FOTO UPM)

Aktiviti plogging ini dimulakan di perhentian bas Kolej 17 dan berakhir di jalan berdekatan dengan lebuh raya. Hasilnya, aktiviti ini berjaya mengumpul sejumlah 26 plastik sampah dan lima daripadanya telah dihantar ke Pusat Kitar Semula.

Ternyata, aktiviti ini berjaya mencapai matlamat di samping turut memberi semangat kepada para peserta dalam membantu membersihkan kawasan tercemar.

 

Aktiviti plogging secara tidak langsung memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya kebersihan alam sekitar. (FOTO UPM)

Di samping itu, ia dapat memberi kesedaran kepada peserta malah penduduk setempat agar tidak membuang sampah sesuka hati.

Selain itu, dapatan dari aktiviti ini, dapat mengeratkan lagi hubungan antara ahli kumpulan dan juga hubungan para pelajar bersama staf UPM yang turut membawa anak-anak mereka menyertainya.

"Kami berharap aktiviti plogging ini akan kerap dijalankan dari semasa ke semasa dan mendapat sambutan yang tinggi dalam penyertaan daripada kalangan pelajar dan orang awam di sekitar kawasan tersebut. Ia amat membantu dalam memelihara alam sekitar. Justeru itu, marilah kita bersama-sama mengamalkan gaya hidup yang sihat dan menjaga kebersihan bumi yang kita cintai," harapan daripada salah seorang pelajar yang mengikuti aktiviti ini.

Tarikh Input: 04/04/2019 | Kemaskini: 04/04/2019 | hairulnizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXDdSAk~