Siswa UPM Prihatin Nasib Haiwan Terbiar, Berjaya Kumpul Dana RM4000 | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» BERITA » Siswa UPM prihatin nasib haiwan terbiar, berjaya kumpul dana RM4000

Siswa UPM prihatin nasib haiwan terbiar, berjaya kumpul dana RM4000

Kemunculan wabak Covid-19 ini bukan sahaja menyebabkan ramai rakyat yang terkesan, bahkan haiwan turut merasai tempiasnya.

Buktinya, peningkatan pembuangan haiwan peliharaan meningkat tiga kali ganda semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menyedari hakikat tersebut, seramai 22 mahasiswa di bawah kursus Pembangunan Kesukarelawanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) tampil membela nasib haiwan terbiar ini dengan menganjurkan Program “The Claws and Paws Care Fund” bagi mengumpulkan dana untuk membantu haiwan berkenaan.  

Pengarah program, Dr Nor Shazlina Mohamed berkata, peningkatan jumlah haiwan yang terbiar menyebabkan berlakunya banyak penderaan terhadap haiwan seperti yang dilaporkan oleh media massa.

“Justeru, kami terpanggil untuk mengumpulkan dana bagi membantu haiwan-haiwan ini dan mendapatkan keluarga angkat mereka agar hidup lebih terbela.

“Selain itu, penganjuran program ini juga bertujuan untuk memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat mengenai pentingnya menyantuni, membantu dan memelihara kesinambungan kehidupan yang aman, sama ada haiwan peliharaan, haiwan terbiar, haiwan liar, mahupun haiwan yang terancam,” katanya.

Usaha yang dilakukan oleh mahasiswa Kursus Pembangunan Kesukarelawanan ini turut mendapat sokongan daripada Timbalan Dekan Prasiswazah & Alumni, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, UPM, Prof Madya Dr Norashidah Mohamed Nor.

 

“Saya berharap supaya siswa dan masyarakat akan lebih peka dengan tanggungjawab dan tugas sebagai manusia demi menjamin kehidupan haiwan yang lebih baik.

“Saya juga mengharapkan supaya lebih ramai lagi penuntut yang mengambil bahagian dalam program kesukarelawan seperti ini sesuai dengan moto UPM, iaitu berilmu dan berbakti,” katanya dengan menambah, lebih banyak dana dapat dikumpulkan agar dapat membantu dan memberi peluang kepada haiwan-haiwan terbiar meneruskan kehidupan mereka.

Secara keseluruhan, The Claws and Paws Care Fund berjaya mengutip dana bernilai RM4000 secara dalam talian.

Wang sumbangan telah diserahkan kepada Spay and Stray Project untuk tujuan kebajikan haiwan berkenaan.

Terdahulu, mahasiswa ini juga telah menganjurkan sesi Bicara Santai bersama Pengarah Program The Claws and Paws Care Fund, Dr Norshazlina Mohammed Sharif; wakil Bahagian Regulator Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Vaterinar Dr Marzuna Md Yunus dan pengasas rumah amanah, Mohammad Hashim Mohd Duni bagi membincangkan tentang isu haiwan terbiar ini dan memberi kesedaran kepada masyarakat.

Program yang berlangsung selama sebulan ini berjaya membantu hampir 50 ekor haiwan terbiar untuk dimandulkan, dirawat dan mendapatkan keluarga angkat mereka.

Diharapkan usaha murni pelajar ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang.

 

 

Tarikh Input: 11/02/2021 | Kemaskini: 03/08/2022 | muhamadzulwaqa

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXDdAAA~