UPM HANTAR SUKARELAWAN BANTU MANGSA BANJIR PANTAI TIMUR | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» BERITA » UPM HANTAR SUKARELAWAN BANTU MANGSA BANJIR PANTAI TIMUR

UPM HANTAR SUKARELAWAN BANTU MANGSA BANJIR PANTAI TIMUR

SERDANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Jawatankuasa Misi Bantuan Pasca Banjir 2022/2023 berjaya melaksanakan Misi Menyantuni Mangsa Pantai Timur di daerah Tumpat, Kelantan dan Jerteh Terengganu pada 30 dan 31 Disember lalu.

Misi di bawah kelolaan Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) telah disertai masing-masing seramai 45 sukarelawan dari kalangan staf dan pelajar di Tumpat serta 47 sukarelawan di Jerteh.

Di Tumpat, sukarelawan UPM membantu operasi pembersihan rumah mangsa banjir di beberap buah kampung seperti Kampung Telok Jering, Kampung Kajang Sebidang serta Kampung Sedar, selain mengagihkan bantuan pek makanan kepada keluarga pelajar UPM dan komuniti setempat.

Manakala di Jerteh, sukarelawan UPM telah membantu operasi pembersihan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong yang terjejas teruk dengan kejadian banjir luar jangka apabila air naik lebih dari dua meter.

Operasi yang turut disertai oleh sukarelawan dari beberapa buah universiti tempatan lain telah membersihkan kelas serta peralatan kerusi, meja selain menyusun tilam dia asrama bagi membolehkan sekolah dapat memulakan operasi dengan lancar 1 Januari 2023.

Bantuan pek makanan juga turut diedarkan kepada keluarga pelajar UPM dan komuniti setempat.

Dalam ucapan ketika menyempurnakan Majlis Pelepasan Misi Bantuan Pasca Banjir Pantai Timur ini, Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua sukarelawan yang cakna dengan kesusahan yang menimpa mangsa banjir sekali gus bersedia untuk turun padang membantu meringankan beban mereka.

”Misi seumpama ini adalah bukti bahawa warga universiti sentiasa mengambil peduli masalah yang menimpa anggota masyarakat dan bersedia untuk menghulurkan pelbagai bantuan sebagai tanggungjawab sosial universiti kepada masyarakat sekali gus bertepatan dengan motto UPM iaitu ‘Berilmu, Berbakti’,” katanya.


Jelas Mohd Roslan, misi ini adalah susulan kepada misi yang telah dilaksanakan di Bachok, Kelantan sebelum ini dan UPM bersedia untuk meneruskan misi murni seperti ini pada masa-masa akan datang mengikut keperluan.

Misi di Kelantan dan Terengganu ini telah melibatkan penyertaan sukarelawan pelajar dari kalangan Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Kor Suksis), Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Kor Palapes) serta ahli Kelab Pembangunan Insaniah (INSAN) UPM.

 

Tarikh Input: 07/01/2023 | Kemaskini: 07/01/2023 | muhamadzulwaqa

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXDdJAR~