200 MURID ‘BELAJAR SAMBIL BERMAIN’ MENERUSI PROGRAM PEMERKASAAN SAHSIAH PELAJAR DAN SMART LEARNING | CO-CURRICULUM AND STUDENT DEVELOPMENT CENTRE
» NEWS » 200 MURID ‘BELAJAR SAMBIL BERMAIN’ MENERUSI PROGRAM PEMERKASAAN SAHSIAH PELAJAR DAN SMART LEARNING

200 MURID ‘BELAJAR SAMBIL BERMAIN’ MENERUSI PROGRAM PEMERKASAAN SAHSIAH PELAJAR DAN SMART LEARNING

Tiga buah sekolah sekitar daerah Chenor, Pahang, telah terpilih mengikuti Program Pemerkasaan Sahsiah Pelajar dan Smart Learning anjuran Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.

Sekolah-sekolah bertuah tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sekara, SK Bukit Lada dan SK Bukit Bota.

Menurut Pengarah PKPP, UPM, Profesor Madya Dr Omrah Hassan @ Hussin, program tersebut diadakan bertujuan memperkasakan penguasaan Bahasa Inggeris dan kemahiran dalam bidang sains.

Tambah beliau, program yang berpaksikan elemen pemindahan ilmu itu amat membantu meningkatkan kualiti pendidikan dan kemahiran para peserta.

“Program ini membabitkan penyertaan 200 murid Tahap Dua dari tiga sekolah berkenaan.

“Berkonsepkan ‘belajar sambil bermain’, ternyata program ini berjaya menarik minat peserta sekali gus memberi kesedaran kepada mereka tentang keperluan kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dan kepentingan bidang sains,” ujarnya kepada Sinar Bestari.

Apabila ditanya mengenai penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid hari ini, Omrah memberitahu, setiap orang perlu mahir bahasa tersebut.

“Penguasaan Bahasa Inggeris penting kerana ia menjadi bahasa perantaraan yang diguna pakai di seluruh dunia.

“Kemahiran menguasainya memang wajar dalam memastikan generasi muda berupaya menghadapi cabaran dunia yang semakin mencabar,” tuturnya lanjut.

Selain mengikuti program tertentu untuk mahir bahasa itu, Omrah menjelaskan, kemahiran berbahasa Inggeris harus bermula dari rumah manakala di sekolah, guru-guru akan bertindak membantu mereka bertutur menggunakan struktur ayat yang betul.

“Malah, guru-guru juga akan memperkenalkan perkataan dan kosa kata baharu dan banyak lagi kepada murid-murid,” ujar Omrah.

Sementara itu, program Pemerkasaan Sahsiah Pelajar dan Smart Learning yang diadakan di SK Sekara dikendalikan oleh barisan fasilitator yang terdiri daripada 21 ahli Kelab Pembangunan Insaniah (INSAN), UPM.

Sepanjang dua hari program berlangsung, pelbagai aktiviti telah disediakan kepada peserta yang menyertainya.

Antara aktiviti tersebut ialah latihan dalam kumpulan, Let’s Correct Our Grammar Together, Words Cross dan Create Me.

Date of Input: 25/11/2022 | Updated: 25/12/2022 | muhamadzulwaqa

MEDIA SHARING

CO-CURRICULUM AND STUDENT DEVELOPMENT CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXEUOAN~