Oleh: Nur Farah binti Yanto
PRESINT 18, PUTRAJAYA -Sukan sepak takraw adalah salah satu sukan warisan daripada sukan sepak raga yang telah dimodenkan dan diminati oleh masyarakat Malaysia dan ini terbukti dengan sambutan meriah daripada peserta luar yang telah dianjurkan di Gelanggang Sepak Takraw Presint 18, Putrajaya. Dengan kerjasama Kelab Sepak Takraw Presint 18 (KESTAR 18), program anjuran Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Kursus Kokurikulum Berkredit (QKS2109) Universiti Putra Malaysia (UPM) telah diadakan dan bukan sahaja berkhusus pelajar UPM malah juga memberi peluang untuk orang awam menyertai program ini. Seramai 31 orang pelajar UPM dan 30 orang peserta telah menyertai Klinik Sepak Takraw bersama seorang penasihat program En. Eddy Shahriza bin Jamein yang membimbing bagi memastikan program berjalan dengan lancar dibantu oleh pengarah program, Tengku Imran Fakhri Bin Tengku Eris Martino.
Para peserta yang menyertai kejohanan ini didapati datang dari pelbagai peringkat kategori umur yang berbeza oleh itu kategori perlawanan yang berbeza diadakan. Bagi, kategori C iaitu perlawanan menimbang bola dengan peluang jatuhan sebanyak sepuluh kali. Manakala, kategori A dan kategori B adalah perlawanan yang dibahagikan mengikut umur dan jumlah peserta bagi kategori C adalah seramai tiga orang pelajar. Manakala Kategori A bawah 15 tahun seramai 17 orang pelajar yang terlibat dan 10 orang pelajar bagi kategori B iaitu bawah 18 tahun. Bagi melancarkan Program Klinik Sepak Takraw ini, bekas atlet sukan negara Malaysia iaitu Mohd Hafizie Bin Manap telah dijemput bagi menyumbangkan kepakarannya kepada peserta dan pelajar UPM.
Wakil Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia, Encik Shah Rizan, dalam ucapan beliau “ Program ini dijalankan dengan tujuan memberikan kesempatan emas bagi masyarakat untuk meraih puncak bakat mereka dalam memainkan sukan sepak takraw yang luar biasa ini, terutama kaum muda, agar mereka dapat merasakan pesona dan memahami lebih dalam tentang keindahan sukan ini”. Tidak dapat disangkal, sepak takraw merupakan warisan kebudayaan tak ternilai dari masyarakat Melayu, dan jika generasi muda tidak melanjutkan perjuangan mempelajari dan menggemari sukan ini, maka di masa depan sukan sepak takraw ini akan terhapus dari cerita zaman, seiring waktu dan perkembangan yang berlalu,
Tetamu jemputan sebagai tenaga pengajar Klinik Sepak takraw, En Hafizie berkata “Saya berasa gembira dan teruja sebagai bekas pemain negara untuk berkongsi ilmu dan teknik-teknik yang saya ada bagi mengasah bakat semua kamu semua, ”. Itulah luahan yang diberikan semasa ucapan pengenalan dirinya kepada semua peserta yang mana beliau menyatakan rasa tanggungjawabnya kepada semua masyarakat bagi berkongsikan ilmu yang dimilikinya kepada peserta yang tekun ingin menuntut ilmu dari beliau. Tambahan pula beliau berkata, berasa bersyukur ditempatkan di Universiti Putra Malaysia sebagai kakitangan atas sumbangannya yang telah mengharumkan nama negara di sukan SEA pada tahun 2018.
Antara aktiviti yang dijadualkan mengikut tentatif program termasuklah latihan kawalan bola dengan kaki dan kepala, sepak sila, sepak sudu, memeha dan menanduk. Seterusnya, aktiviti latihan kawalan bola berpasangan turut diadakan bagi melatih peserta untuk menyerahkan bola kepada rakan pasukan semasa perlawanan dilaksanakan. Tidak ketinggalan juga aktiviti penting iaitu latihan kemahiran posisi termasuklah posisi tekong, apit kanan dan apit kiri agar peserta mempunyai asas peranan masing-masing di dalam perlawanan. Aktiviti terakhir bagi menilai bakat dan ilmu yang mereka pelajari, satu perlawanan antara peserta dilaksanakan dan penilaian dapat dilihat apabila kategori C dimenangi oleh adik Azfar Zufayri bin Muhammad Zaidi manakala kategori A dimenangi oleh kumpulan Warrior dan kategori B dimenangi oleh kumpulan Sos Tiram.
Tengku Imran Fakhri Bin Tengku Eris Martino selaku pengarah program berkata “Saya berharap program yang dilaksanakan memberikan impak yang positif kepada pelajar universiti ini sendiri dan peserta yang menyertai program secara sukarela. Saya juga berpuas hati dan berterima kasih kepada ahli jawatankuasa yang bersama-sama menjayakan program kita pada hari ini” semasa ucapan penutup yang diberikan.
Date of Input: 01/11/2023 | Updated: 01/11/2023 | muhamadzulwaqa
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan