Apabila disebut perjuangan dan pengorbanan untuk mencapai kebebasan kita selalu merujuk kepada pimpinan dalam masyarakat dan pasukan keselamatan. Jasa mereka sangat dihargai.
Mereka berdepan secara langsung dengan ancaman dan senjata musuh yang pelbagai macam dengan penuh keberanian. Diri dan nyawa menjadi benteng dalam usaha kita memperoleh kemenangan. Tiada perkataan yang selayaknya untuk mengungkapkan pengorbanan mereka.
Namun, tidak ramai yang membicarakan pengorbanan dilalui oleh keluarga anggota keselamatan dalam usaha negara mencapai kemerdekaan. Bagi setiap anggota keselamatan yang terkorban contohnya, pasti ada keluarga yang menderita.
Hidup dalam keperitan, kesedihan
Ada isteri kematian suami atau sebaliknya begitu juga ibu dan bapa kehilangan anak yang menjadi punca rezeki, anak hilang ayah begitu juga adik beradik. Kehidupan mereka dihiasi dengan kesedihan dan keperitan.
Di kampung dan di bandar, keluarga pada era kemerdekaan bersusah payah untuk memenuhi keperluan hayat. Hasilnya, setiap keluarga mampu melangsungkan kehidupan dan membesarkan generasi baharu dengan apa sahaja sumber yang diperoleh.
Ibu dan bapa menjadi pejuang yang tidak didendangkan tanpa mengira penat lelah. Lahirlah daripada keluarga ini keutuhan yang menjamin modal insan berterusan buat negara tercinta.
Oleh yang demikian, sempena sambutan Bulan Kemerdekaan kali ini, marilah kita sama-sama menghayati perjuangan setiap keluarga dahulu dan sekarang, tanpa mengira kaum dan agama, terutama perjuangan ibu bapa dalam usaha melahirkan keluarga yang utuh.
Selain itu, ikatan perpaduan dalam kalangan keluarga pelbagai kaum di negara kita sejak sekian lama perlu dipupuk setiap masa. Kita kena ingat, nilai muhibah sudah mengikat kesepaduan dan menjamin keamanan di Malaysia.
Walaupun ada banyak cabaran yang kita hadapi, perhubungan keluarga silang budaya di negara kita sebenarnya adalah baik.
Bak kata Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra pada 3 Jun 1957, "Kita semua rakyat Malaysia. Inilah ikatan yang menyatukan kita. Marilah kita sentiasa ingat bahawa perpaduan adalah kekuatan asas kita sebagai rakyat dan sebagai sebuah negara. Semua ini dapat dicapai kerana kita masing-masing percaya, walau kita berbeza, tetap teguh bersama."
Rozalli Hashim,
Pertubuhan IKRAM Malaysia