Modul Pemahaman Dan Amalan Rukun Negara | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» PEMBANGUNAN PELAJAR » MODUL TERBITAN PKPP » Modul Pemahaman dan Amalan Rukun Negara

Modul Pemahaman dan Amalan Rukun Negara

Buku Pemahaman dan Amalan Rukun Negara merupakan hasil usaha dan komitmen tinggi yang telah dijalankan oleh sekumpulan ahli akademik dan bukan akademik yang pakar dalam pelbagai bidang. Keseluruhan kandungan buku ini mengandungi intisari semangat patriotisme dan perpaduan yang telah dicetuskan oleh lima prinsip Rukun Negara.

Buku ini menggunakan pendekatan modul yang melibatkan pelaksanaan aktiviti. Buku ini diyakini akan dapat membantu para fasilitator, peserta dan pembaca untuk memahami, menyedari dan menghayati dengan lebih jelas tentang kepentingan penghayatan dan amalan Rukun Negara. Pelaksanaan aktiviti yang ditampilkan dalam setiap topik dalam buku ini berupaya untuk membimbing para peserta memahami dan mengamalkan nilai-nilai setiap prinsip Rukun Negara dalam kehidupan seharian.

Tujuh bab yang disediakan dalam buku ini menerangkan latar belakang serta kepentingan setiap prinsip selain memberikan panduan aktiviti yang boleh dilaksanakan mengikut prinsip yang menjadi ideologi kebangsaan.

Penerbitan buku ini juga diyakini mampu untuk dijadikan panduan bagi menangani pelbagai isu perpaduan dalam kalangan pelbagai etnik yang wujud dalam negara Malaysia tercinta ini. Selain itu, buku ini juga menyediakan panduan dan penjelasan berkaitan dengan sikap dan tingkah laku yang boleh dan tidak boleh diamalkan oleh setiap warganegara Malaysia, terutamanya yang membabitkan institusi Raja, Agama dan kaum (3R). Tanpa kesedaran dan penghayatan yang kukuh terhadap prinsip Rukun Negara, penularan pelbagai gejala negatif dibimbangi akan menggoncangkan jambatan perpaduan yang telah dibina dan diwariskan oleh generasi terdahulu. 

Dengan penerbitan buku ini para pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT), murid sekolah dan anggota masyarakat dapat dibantu untuk memahami, menghayati dan seterusnya mampu untuk mengaplikasikan setiap prinsip Rukun Negara dalam kehidupan seharian mereka.

Kemaskini:: 01/04/2024 [najibasyraf]

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 1156
-
X, (02:49:07pm-02:54:07pm, 22 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]