Mahasiswa UPM Pupuk Semangat Cintakan Diri Dan Alam Sekitar Melalui Platform Maya | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» ARTIKEL » Mahasiswa UPM pupuk semangat cintakan diri dan alam sekitar melalui platform maya

Mahasiswa UPM pupuk semangat cintakan diri dan alam sekitar melalui platform maya

Oleh: Nurain Syafiqa Maisarah Binti Mohd Rozi

Amalan mencintai diri dan alam sekitar sudah pastinya tidak asing lagi dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi Universiti Putra Malaysia (UPM) selepas berlangsungnya program ‘Self Love, Spread the Love’ secara dalam talian yang dianjurkan oleh para pelajar Bakti Siswa kumpulan 11 di bawah naungan Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM dengan kerjasama daripada tiga pihak iaitu Yayasan Hijau Malaysia, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM dan Breast Cancer Welfare Association Malaysia (BCWA).

Program dua hari yang telah berlansung secara atas talian menerusi Facebook Live ini merangkumi topik mengenai kesihatan diri yang mengkhususkan kepada pemakanan sihat serta kanser payudara dan juga topik mengenai alam sekitar yang secara menyeluruhnya menyentuh mengenai pengendalian sisa terbuang, cara penghasilan produk daripada bahan terpakai dan cara penanaman pokok. Program ‘Self Love, Spread the Love’ ini mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan kerana pihak penganjur program telah menjemput beberapa penceramah yang sangat berpengalaman serta mahir dalam bidang masing-masing.  

Sepanjang program dijalankan, banyak input dan pengetahuan yang dapat diperoleh oleh para hadirin mengenai cara penjagaan diet yang seimbang yang disampaikan oleh Puan Nurliyana Binti Naharuddin, Pegawai Dietetik Klinikal dari UPM dan juga mengenai topik pengendalian sisa terbuang oleh Encik Muhamad Faiz Bin Muhamad Pauzi, Eksekutif Kanan Bahagian Pengurusan Projek, Yayasan Hijau Malaysia yang juga merupakan bekas pelajar UPM. Pn Ranjit Kaur, Presiden BCWA telah berbesar hati untuk memberikan ceramah mengenai kanser payudara serta berkongsi pengalaman beliau sebagai seorang bekas pesakit kanser payudara. Sesi ini diharapkan dapat memupuk kesedaran dalam mengambil langkah-langkah pencegahan awal kanser payudara dikalangan masayarakat Malaysia.

“Masyarakat perlulah mengambil berat terhadap penjagaan alam sekitar kerana alam inilah rumah yang kita diami, di mana kurniaan tuhan kepada hambanya,” kata Encik Muhamad Faiz Bin Muhamad Pauzi sewaktu menyampaikan ceramah beliau. Selain daripada sesi ceramah, pelbagai aktiviti yang menarik dan mengasah minda telah dijalankan seperti kuiz ‘Kahoot’, sesi soal jawab bersama para penceramah jemputan, tayangan video pertandingan kitar semula, aktiviti peta minda secara atas talian dan banyak lagi aktiviti yang juga terbuka kepada orang luar.

“Program seperti ini diharapkan dapat memupuk nilai-nilai kasih sayang yang mendalam terhadap diri dan juga terhadap alam sekitar” kata Puan Arba’ah Binti Md. Salleh, fasilitator khas Bakti Siswa kumpulan 11 yang telah memberikan ucapan semasa upacara perasmian program secara atas talian.

 

Sesi ceramah mengenai pengambilan diet yang seimbang oleh Puan Nurliyana Binti Naharuddin.

 

Kelihatan para peserta sangat bersemangat menjawab soalan sewaktu sesi aktiviti Kahoot yang dijalankan bagi menguji kefahaman peserta.

 

Slot ceramah mengenai kanser payudara yang disampaikan dengan penuh maklumat oleh Puan Ranjit Kaur, Presiden BCWA.

 

Sesi perkongsian tentang penjagaan alam sekitar yang sangat terperinci oleh Encik Muhamad Faiz Bin Muhamad Pauzi dari Yayasan Hijau Malaysia.

 

Sesi demonstrasi yang sangat kreatif sewaktu slot penghasilan produk dari bahan terpakai oleh salah seorang ahli jawatankuasa program.

 

Disediakan oleh :

NAMA : NURAIN SYAFIQA MAISARAH BINTI MOHD ROZI

TARIKH: 15 JUN 2021

Tarikh Input: 04/08/2021 | Kemaskini: 04/08/2021 | muhamadzulwaqa

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXEeBAF~