Keselamatan, Kesihatan Di Tempat Kerja Bukan Isu Remeh | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» ARTIKEL » Keselamatan, kesihatan di tempat kerja bukan isu remeh

Keselamatan, kesihatan di tempat kerja bukan isu remeh

Oleh : Dr Mohd Zubairy Shamsudin

Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan atau World OSH Day pada 28 April setiap tahun bertujuan memperingati kembali mangsa terbabit kemalangan dan penyakit pekerjaan.

Peningkatan perangkaan penyakit pekerjaan dan kemalangan mampu memberi impak besar terhadap negara.

Kehilangan pekerja berkemahiran tinggi disebabkan penyakit dan kemalangan ialah kerugian sukar diganti. Tambahan pula kita sedang menuju ke arah negara pekerja berkemahiran tinggi sejajar menjadikan Malaysia sebagai negara maju.

Banyak faktor mempengaruhi kadar penyakit pekerjaan dan kemalangan dalam kalangan pekerja seperti kekangan pengetahuan dan kekurangan kemahiran. Kebanyakan kes kecederaan dan kemalangan menyebabkan pekerja hilang mata pencarian bukanlah insiden tidak boleh dicegah.


Buat pemeriksaan berjadual, bukannya jika berlaku kemalangan saja' - Berita  | Majoriti

Namun, perkara ini dipandang remeh kerana mempunyai matlamat lain lebih utama perlu dicapai. Harus diingat, menjadi tanggungjawab pihak pengurusan memastikan pekerja seliaan mereka bekerja dengan selamat dan sihat.

Risiko boleh disebabkan pelbagai keadaan seperti fizikal, kimia, biologi, psikososial dan ergonomik. Perkara ini perlu dititikberatkan majikan sebagai membuktikan iltizam mereka terhadap pembudayaan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Konsep pencegahan dan kawalan risiko merangkumi hierarki kawalan risiko menerusi penghapusan, penggantian, kawalan kejuruteraan, kawalan pentadbiran serta kelengkapan perlindungan diri.

Risiko boleh jadi wujud ketika proses kerja, mesin dan bahan pemprosesan. Kaedah penghapusan sesuai dilakukan ketika pada peringkat reka bentuk atau perancangan proses kerja kerana di peringkat ini, sebarang cadangan bersesuaian tidak menyebabkan impak kewangan tinggi.

Kawalan penggantian pula membabitkan penggantian proses atau bahan lebih selamat selepas keadaan berbahaya dikenal pasti. Contohnya, menggantikan bahan kimia mempunyai bahaya menghakis yang tinggi dengan bahan kimia kurang menghakis.

Seterusnya, kawalan kejuruteraan merangkumi aspek reka bentuk dan pengubahsuaian aktiviti atau proses.

Idea asasnya adalah untuk mereka bentuk persekitaran dan proses kerja dilakukan selamat dengan magnitud dedahan bahaya dihapus atau dikurangkan. Contohnya, mereka bentuk dinding menyerap bising pada mesin pemampat udara.

Kawalan pentadbiran mengaplikasikan konsep pengurusan operasi dan manusia. Penyediaan syif bekerja, masa rehat serta prosedur kerja selamat ialah kaedah kawalan pentadbiran.

Ia termasuk penyediaan sistem pelabelan dan latihan. Latihan ialah bentuk kawalan pentadbiran berkesan dalam memberi kesedaran keselamatan dan kesihatan kepada pekerja kerana membabitkan mereka secara langsung.

Peralatan perlindungan diri (PPE) ialah pendekatan kawalan risiko terakhir selepas langkah kawalan utama (penghapusan, penggantian, kejuruteraan dan pentadbiran) diambil.

PPE diterapkan untuk mengawal baki risiko berfungsi untuk mengurangkan tahap kecederaan sekiranya berlaku kemalangan.

Terpulang kepada majikan untuk melaksanakan keperluan keselamatan dan kesihatan mengikut kesesuaian tempat mereka dengan penyediaan keperluan, cadangan serta kaedah pengawalan dan pencegahan risiko tempat kerja setakat yang praktik.

Berpandukan huraian Seksyen 3, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ada empat kriteria perlu diambil kira bagi memenuhi maksud 'setakat yang praktik.'

Pertama, tahap keterukan boleh dikenal pasti dalam proses penilaian risiko tempat kerja. Dalam proses ini, bahaya pekerjaan disenaraikan di fasa pengenalpastian bahaya seterusnya tahap keterukan dedahan risiko berkenaan dianggarkan.

Fasa ini mengkehendaki pihak mewujudkan risiko untuk berbincang dengan pihak keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi mendapatkan pandangan serta syor kawalan bahaya dan impak risiko secara spesifik.

Langkah kawalan risiko dibuat berdasarkan output taksiran risiko. Risiko memperoleh nilai tinggi diutamakan berbanding yang lain. Di sini letaknya justifikasi majikan premis untuk merangka langkah kawalan sesuai bagi mengurangkan tahap keterukan risiko.

Kedua, ilmu pengetahuan. Keupayaan memahami dan menjustifikasi sesuatu perkara berdasarkan ilmu menjadi kriteria perlu dipenuhi sebagai langkah kawalan. Pengetahuan luas terhadap bahaya dan risiko sesuatu proses kerja penting sebagai faktor pengesyoran langkah kawalan sesuai. Oleh itu, individu mempunyai kepakaran dan pengalaman terhadap suatu proses kerja spesifik dirujuk ketika fasa penaksiran risiko.

Majikan boleh meminta nasihat pihak perunding mengenai isu keselamatan dan kesihatan bersifat teknikal serta kompleks. Juga menggunakan khidmat kakitangan pelbagai bidang syarikat untuk membincangkan isu berkaitan dimudahcarakan pegawai keselamatan dan kesihatan bagi kes lebih praktikal di lapangan.

Ketiga, keberadaan dan kesesuaian. Langkah kawalan bahaya dan risiko pekerjaan dicadangkan perlu dilihat daripada keadaan sedia ada premis seperti keberadaan sistem dan kesesuaian premis untuk melaksana langkah kawalan dipersetujui.

Faktor ini perlu diberi perhatian supaya langkah kawalan bakal diambil tidak mendatangkan risiko lain.

Faktor keberadaan meliputi perbelanjaan, tenaga mahir dan khidmat nasihat. Faktor kesesuaian pula meliputi kemampuan sesuatu premis melaksana suatu langkah kawalan mengikut kesesuaian termasuk jenis industri, keluasan kawasan dan bilangan tenaga kerja.

Keempat, kos. Sebarang program keselamatan dan kesihatan dirancang pada suatu premis memerlukan penggerak utama, iaitu kewangan. Kos mengurangi dan menghapuskan sumber risiko perlu disenarai supaya langkah kawalan diambil relevan dan efektif dari segi kos.

Sekiranya langkah kawalan diambil memerlukan perbelanjaan besar, ia tidak lagi efektif dari segi kos, malah memungkinkan kerugian kepada syarikat. Maka, taksiran terperinci perlu dirancang dan dilaksanakan sebaik mungkin.

Di sini terletak kepentingan perbincangan meja bulat pelbagai pihak berkepentingan syarikat dipengerusikan individu tertinggi.



Tarikh Input: 31/05/2023 | Kemaskini: 31/05/2023 | muhamadzulwaqa

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXETNAx~