
17 Mei 2025 - Bengkel Pengurusan Majlis Rasmi Program Komuniti anjuran Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya diadakan bertempat di Dewan Putra, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar. Program ini melibatkan penyertaan dalam kalangan wakil pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit yang merupakan ahli Jawatankuasa Protokol Program Komuniti. Bengkel ini telah dirasmikan oleh Ts. Dr. Rozzamri Ashari, Timbalan Pengarah PKPP (Seksyen Kokurikulum Berkredit).

Penganjuran bengkel dapat memberikan pendedahan dan kefahaman kepada para pelajar berkaitan pengurusan majlis rasmi secara profesional, teratur dan beretika. Antara pengisian utama bengkel termasuklah tatacara pengendalian majlis, pengurusan atur cara, protokol tetamu kehormat, pengacaraan majlis serta etika pemakaian. Bengkel ini juga merupakan platform latihan yang berkesan dalam memperkukuh kemahiran komunikasi dan kepimpinan pelajar.

Secara keseluruhannya, bengkel ini dapat meningkatkan tahap ketelitian dan persediaan para pelajar dalam melaksanakan tanggungjawab protokol semasa mengendalikan program-program komuniti yang akan datang. Selain itu, ia turut memberi nilai tambah dalam pembangunan sahsiah serta melahirkan graduan yang holistik, beretika dan berdisiplin.
Tarikh Input: 21/05/2025 | Kemaskini: 21/05/2025 | saidatul.halim

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan