PROGRAM LESTARI JIWA PUTRA @ CAKNA KAMPUS 2026 | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» BERITA » PROGRAM LESTARI JIWA PUTRA @ CAKNA KAMPUS 2026

PROGRAM LESTARI JIWA PUTRA @ CAKNA KAMPUS 2026

Serdang, 27 Jun 2026 – Seramai lebih 200 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai Program Lestari Jiwa Putra @ Cakna Kampus 2026 yang dianjurkan oleh Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) pagi tadi.
 
Penganjuran aktiviti ini adalah sebagai program signature Jiwa Putra bersempena sambutan Bulan Sinergi Putra 2026 peringkat UPM yang berlangsung sepanjang bulan Jun ini melibatkan pelbagai pusat tanggungjawab.
 
Terdahulu, UPM telah menggariskan lima fokus utama sebagai True North universiti manjadi tema program sinergi ini iaitu Blueprint Keterjaminan Makanan, Blueprint Planetary Health, Putra Global, Jiwa Putra serta Perkhidmatan Di Luar Jangkaan dan Pemerkasaan Alumni.
 
Pengarah PKPP, Profesor Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad berkata, program ini adalah cerminan mahasiswa yang cakna terhadap perkembangan persekitaran universiti serta menjadi platform untuk membentuk graduan yang bersedia membimbing komuniti dan menyumbang kepada masyarakat.

 

“Program Jiwa Putra ini turut dilaksanakan bersama komuniti sebagai sumbangan mahasiswa kepada komuniti. Pendekatan ini memberi peluang kepada pelajar untuk membangun secara holistik seperti yang digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia,” kata beliau dalam ucapannya.
 
Program tersebut diisi dengan aktiviti senamrobik dan plogging, iaitu aktiviti mengutip sampah sambil berjoging, yang bertujuan menanamkan rasa tanggungjawab terhadap kelestarian kampus.
 
Peserta program, Hafiy Khutubu Rubbani, kelas QKB 2102 Muzik Kompang, berkata Program Lestari Jiwa Putra berjaya memupuk semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab mahasiswa dalam menjaga kebersihan serta kelestarian bumi Serdang.
 
“Program ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk menyumbang kepada kampus melalui aktiviti gotong-royong di kawasan yang memerlukan, sekali gus memupuk semangat kebersamaan dan rasa tanggungjawab,” katanya.

Tarikh Input: 30/06/2026 | Kemaskini: 30/06/2026 | saidatul.halim

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 1156
-
X, (10:30:59pm-10:35:59pm, 04 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]