BENGKEL SILANG BUDAYA MALAYSIA – INDONESIA: ‘SAMA TAPI TAK SERUPA’ | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» BERITA » BENGKEL SILANG BUDAYA MALAYSIA – INDONESIA: ‘SAMA TAPI TAK SERUPA’

BENGKEL SILANG BUDAYA MALAYSIA – INDONESIA: ‘SAMA TAPI TAK SERUPA’

Oleh: Amyliena Farhan

12 Jun 2021 – Pada masa kini, tradisi tarian tradisional seperti tarian Zapin, Inang dan Joget telah semakin dilupakan. Pelbagai pihak termasuk Kerajaan dan NGO telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan tradisi warisan ini tidak dilupakan dengan pelaksanaan beberapa pertandingan atau kursus yang melibatkan semua lapisan masyarakat dan peringkat umur. Namun demikian, pandemik COVID-19 dilihat sebagai salah satu halangan di dalam meneruskan usaha ini apabila kebanyakkan aktiviti kebudayaan terpaksa ditangguhkan bagi mengelakkan perkumpulan secara beramai-ramai serta memastikan SOP penjarakan sosial terus diamalkan.

Mengambil inisiatif daripada perkara tersebut, Kursus Kokurikulum Berkredit QKB2101 Seni Tari Melayu Kumpulan Satu (1) di bawah Pusat Ko-kurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM telah mengadakan satu bengkel tarian secara atas talian yang dinamakan sebagai BENGKEL SILANG BUDAYA MALAYSIA – INDONESIA: ‘SAMA TAPI TAK SERUPA’. Bengkel tarian secara atas talian ini telah dibahagikan kepada tiga (3) sesi iaitu Bengkel Tarian Tradisional Indonesia yang dijalankan pada waktu pagi, Bengkel Tarian Tradisional Melayu yang dijalankan pada waktu tengah hari dan sesi Sembang Budaya antara Malaysia dan Indonesia pada waktu petang.  

Objektif utama program komuniti ini diadakan adalah untuk memupuk semangat kerja berpasukan serta kepimpinan dalam kalangan pelajar semasa menjayakan program di samping mendedahkan kepelbagaian dan keindahan tarian tradisional Melayu dan Indonesia kepada semua lapisan masyarakat di Malaysia dan di Indonesia  kepada semua lapisan masyarakat khususnya kepada para pelajar dan individu yang baru hendak mula mengenali tarian tradisional. Bengkel ini melibatkan penglibatan daripada pelajar dari dalam dan luar universiti, pengguna aplikasi media sosial dan juga penglibatan pelajar serta masyarakat daripada negara Indonesia.

Program telah diadakan selama satu (1) hari bermula seawal jam 8.30 pagi iaitu dengan bengkel tarian Tradisional Indonesia oleh tetamu jemputan iaitu Puan Atik Maryati yang merupakan guru tari di Sekolah Rendah Batan Indah, Indonesia. Bengkel tarian tersebut telah dijalankan selama dua (2) jam dan kemudiannya disusuli dengan sesi soal jawab berkaitan tarian tradisional Indonesia tersebut.

Bengkel diteruskan pada sesi tengah hari dengan bengkel tarian Tradisional Melayu yang diketuai oleh tetamu jemputan iaitu Encik Muhammad Izwan bin Suhairi yang merupakan artis budaya di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). Bengkel tarian Tradisional Melayu itu juga dijalankan selama dua (2) jam dan diikuti oleh sesi soal jawab berkaitan pengalaman beliau sebagai seorang artis budaya.

Sesi petang dimulakan dengan Sembang Budaya antara Malaysia dan Indonesia bersama tetamu jemputan yang merupakan mereka yang bergiat aktif dan berpengalaman dalam seni tari iaitu Encik Yunus bin Ismail yang merupakan pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan Puan Lydia Dewi Nurshanti yang merupakan pengasas Maheswari Production Indonesia. Sesi temu bual ini antara lainnya adalah bertujuan untuk memastikan masyarakat memahami dan mengetahui secara lebih dalam mengenai warisan serta budaya sesuatu kaum yang menjadi kebanggaan pada era modenisasi kini di samping melihat perbezaan antara kebudayaan dua buah negara yang dilihat seakan sama tetapi mempunyai tradisi yang berbeza. Melalui sesi temu bual ini juga, para pelajar dan orang ramai berpeluang untuk mengetahui dengan lebih mendalam perbezaan dan persaman dari segi kebudayaan dan keunikan antara dua buah negara tersebut.

Sesi cabutan bertuah dah kuiz turut dijalankan untuk memberikan peluang kepada para peserta memenangi hadiah wang tunai. Seramai tiga orang yang mendapat markah tertinggi bagi kuiz tarian tradisional telah menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM40, RM30 and RM20 manakala bagi cabutan bertuah, seramai 10 orang peserta yang bertuah telah memenangi cabutan tersebut dan turut menerima hadiah wang tunai .

Majlis perasmian penutupan BENGKEL SILANG BUDAYA MALAYSIA – INDONESIA: ‘SAMA TAPI TAK SERUPA’ telah berlangsung pada jam 5.00 petang dan dirasmikan oleh Pengarah Pusat Ko-kurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM, YBhg. Prof. Madya Dr. Nur Izura binti Udzir.

Menurut beliau, jumlah peserta yang menyertai bengkel tarian Malaysia dan Indonesia anjuran program komuniti ini adalah mengagumkan meskipun adanya halangan untuk berinteraksi di antara satu sama lain disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang sedang melanda dunia hari ini.

“Ini jelas menunjukkan bahawa walaupun perjumpaan secara fizikal tidak dapat dilaksanakan namun, penyampaian maklumat melalui platform digital mengenai warisan serta budaya bangsa masih dapat diteruskan bagi memastikan masyarakat lebih memahami dan mendalami warisan serta budaya sesuatu kaum yang menjadi kebanggaan kita sehingga hari ini”, kata beliau sebelum mengucapkan syabas dan tahniah atas kejayaan program komuniti ini dan seterusnya merasmikan majlis penutupan BENGKEL SILANG BUDAYA MALAYSIA – INDONESIA : ‘SAMA TAPI TAK SERUPA’.

Tarikh Input: 06/08/2021 | Kemaskini: 06/08/2021 | muhamadzulwaqa

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXDdOAD~