Serdang, 09 Mei 2026 - Majlis Perasmian Program Jiwa Putra 2026 telah berlangsung dengan penuh meriah dan jayanya di Foyer Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Universiti Putra Malaysia. Program yang menghimpunkan pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB), warga staf serta fasilitator ini menjadi platform penting dalam menyemarakkan semangat kesukarelawanan dan kecintaan terhadap universiti dalam kalangan mahasiswa.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Mursyid Arshad selaku Pengarah PKPP. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menzahirkan penghargaan atas komitmen dan penglibatan aktif para pelajar serta warga PKPP dalam menjayakan program yang berteraskan khidmat komuniti dan pembangunan sahsiah mahasiswa ini. Beliau turut menekankan bahawa penglibatan mahasiswa dalam aktiviti seperti Jiwa Putra bukan sahaja mampu membentuk jati diri yang unggul, malah dapat melahirkan graduan yang lebih prihatin, bertanggungjawab dan berdaya saing.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran warga staf PKPP serta para fasilitator KKB yang bersama-sama memeriahkan dan menyempurnakan acara perasmian tersebut. Suasana penuh semangat dan harmoni jelas terpancar melalui kerjasama erat antara mahasiswa dan pihak pengurusan universiti sepanjang berlangsungnya program.
Sebagai simbolik perasmian, satu gimik khas telah dilaksanakan melalui pelepasan dua kumpulan peserta daripada dua teras utama KKB iaitu Teras Sukan (Futsal) dan Teras Kepimpinan (Silambam). Kedua-dua kumpulan tersebut telah menjalankan aktiviti plogging bermula dari PKPP menuju ke Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), UPM sebelum kembali semula ke PKPP. Aktiviti plogging yang menggabungkan amalan berjoging sambil mengutip sampah ini bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan fizikal peserta, malah turut memupuk kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
Program Jiwa Putra 2026 melibatkan pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit dalam pelaksanaan pelbagai aktiviti khidmat komuniti di sekitar kampus universiti. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk gotong-royong membersihkan kawasan, mengutip sampah, menceriakan persekitaran fakulti dan kawasan tumpuan pelajar serta memastikan kebersihan kampus sentiasa berada pada tahap terbaik. Usaha ini secara tidak langsung memberi peluang kepada para pelajar untuk menyumbang secara positif kepada persekitaran universiti dan memupuk rasa tanggungjawab terhadap kebersihan kawasan kampus.
Selain memperkukuh budaya kesukarelawanan, program ini juga bertujuan memupuk semangat cintakan universiti dalam kalangan mahasiswa serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menyumbang kepada masyarakat dan persekitaran setempat. Melalui penglibatan aktif dalam aktiviti komuniti, mahasiswa dapat membina nilai kepimpinan, kerjasama berpasukan dan disiplin diri yang tinggi, selaras dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan holistik dan seimbang.
Program Jiwa Putra 2026 turut menjadi medium dalam menyemai penghayatan terhadap budaya “Berilmu dan Berbakti” yang menjadi teras Universiti Putra Malaysia. Nilai tersebut diterapkan melalui aktiviti yang menekankan elemen tanggungjawab sosial, semangat kebersamaan dan kepedulian terhadap komuniti. Di samping itu, program ini juga berjaya memperkukuh semangat patriotisme, meningkatkan kecintaan terhadap universiti serta membentuk jiwa mahasiswa yang lebih matang, progresif dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
Secara keseluruhannya, penganjuran Program Jiwa Putra 2026 dilihat berjaya mencapai objektif yang telah dirancang serta memberi impak positif kepada para peserta. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah aktif dalam kegiatan kesukarelawanan dan pembangunan komuniti demi kesejahteraan universiti dan masyarakat secara keseluruhannya.
Tarikh Input: 21/05/2026 | Kemaskini: 21/05/2026 | saidatul.halim

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan