
24 Februari 2025 – Forum Ekonomi & Kepimpinan Dunia (WELF) 2025 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Putra, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM). Forum ini dianjurkan oleh Sustainable Development League (SDL) dengan kerjasama MyFundAction dan Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM bagi membincangkan isu-isu global berkaitan tadbir urus ekonomi, pembangunan lestari, serta cabaran kepimpinan masa depan. Majlis perasmian dimulakan dengan ketibaan tetamu kehormat pada jam 10:30 pagi dan dihadiri oleh pemimpin global, pakar ekonomi, serta wakil institusi antarabangsa.

Ucapan pembukaan disampaikan oleh Nur Izzah binti Norannuar, pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mewakili MyFundAction. Beliau menegaskan komitmen MyFundAction dalam membangunkan belia berwawasan melalui pendidikan, keusahawanan, kesihatan, dan bantuan kemanusiaan. Dengan lebih 10,000 sukarelawan di peringkat global, organisasi ini terus memainkan peranan penting dalam memperkasakan belia sebagai pemacu perubahan dunia.

Seterusnya, Ucaptama Forum bertajuk "Positive Youth Development in Leadership: Unleashing Potential through Mentoring" telah disampaikan oleh Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM, Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad. Beliau menekankan kepentingan bimbingan dalam membangun potensi belia melalui konsep Positive Youth Development (PYD). Pendekatan seperti keserakanan belia-dewasa serta penggunaan teknologi seperti e-mentoring dapat memperkasa kepimpinan belia dalam menghadapi cabaran masa depan.

Forum ini merangkumi tiga modul utama. Modul pertama membincangkan reformasi tadbir urus ekonomi global, termasuk ketidakseimbangan kuasa dalam IMF dan Bank Dunia, serta ketelusan dalam keputusan ekonomi antarabangsa. Modul kedua meneliti cabaran tadbir urus kecerdasan buatan (AI) dan persaingan ekonomi digital, manakala modul ketiga memberi fokus kepada strategi pemulihan ekonomi negara pascakonflik.


Melalui sesi perbincangan dan simulasi panel, peserta telah merangka pelan tindakan bagi menangani cabaran global. Secara keseluruhannya, WELF 2025 memberi pendedahan menyeluruh kepada pemimpin masa depan mengenai isu-isu ekonomi dan kepimpinan sejagat serta penyelesaian yang berkesan dalam menghadapi perubahan global.
Tarikh Input: 03/03/2025 | Kemaskini: 03/03/2025 | syafiqirfan

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan