
1 Mac 2025 – Forum International Putra Bakti@Youth Digital 2025 telah berlangsung dengan jayanya di TEGAS Digital Innovation Hub, Bintulu, Sarawak. Bertemakan "Empowering Youth: Digital Forward!", program ini dianjurkan oleh pelajar QKK2101 Bakti Siswa (Kumpulan 2), Semester Kedua, Sesi Akademik 2024/2025, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) dengan kerjasama Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) UPM, Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB), serta Youth Leadership and Entrepreneurship (YLE2025). Forum ini berlangsung selama dua hari, bermula dari 1 hingga 2 Mac 2025.

Forum ini bertujuan untuk memperkasakan belia dalam bidang digital serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan literasi teknologi dalam dunia moden. Para peserta telah didedahkan kepada pelbagai topik menarik seperti pemasaran digital, kecerdasan buatan (AI), fotografi, pembangunan kerjaya, serta reka bentuk digital. Penganjuran program ini diharapkan dapat melahirkan generasi belia yang celik teknologi dan berdaya saing dalam era digital.

Acara ini telah dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad, Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), yang juga menyampaikan Ucaptama Forum bertajuk "The Role of AI in Youth-Adult Partnership for Digital Literacy". Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan kecerdasan buatan dalam memperkukuh hubungan antara golongan belia dan dewasa bagi meningkatkan celik digital dalam kalangan anak muda.

Sepanjang program berlangsung, peserta berpeluang mengikuti sesi interaktif bersama pakar industri serta menjalankan aktiviti praktikal berkaitan digital. Sesi perbincangan dan bengkel turut memberi ruang kepada peserta untuk memahami dengan lebih mendalam aplikasi teknologi digital dalam kehidupan seharian serta prospek kerjaya dalam bidang ini.

Penganjuran Forum International Putra Bakti@Youth Digital 2025 mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para peserta dan penceramah jemputan. Dengan kejayaan ini, diharapkan lebih banyak program seumpama ini dapat dianjurkan pada masa hadapan bagi memperkasakan generasi muda dalam bidang digital sejajar dengan perkembangan pesat teknologi global.
Tarikh Input: 03/03/2025 | Kemaskini: 03/03/2025 | syafiqirfan

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan