
23 November 2024, Universiti Putra Malaysia (UPM) – Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan bangganya melancarkan Program Jiwa Putra 4.0 yang dianjurkan oleh Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM pada 23 November 2024. Majlis yang dimulakan pada pukul 8.30 pagi itu telah dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad, Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM. Gimik perasmian program turut disertai oleh Ts. Dr. Rozzamri Ashari, Timbalan Pengarah PKPP (Seksyen Kokurikulum Berkredit), serta beberapa tetamu kehormat lain termasuk En. Fahmi Azar Mistar (Timbalan Pengarah PKPP Seksyen Pentadbiran) dan En. Hazrie Minhat (Ketua Seksyen Kokurikulum Berkredit).

Sebagai sebahagian daripada program ini, My FundAction turut hadir dan menyerahkan sumbangan sebanyak 3,000 unit pek 'Ready To Eat' yang bernilai RM45,000 bagi menyokong misi bantuan banjir. Sumbangan ini akan disalurkan kepada mangsa banjir yang memerlukan bantuan segera, menunjukkan semangat perkongsian dan sokongan yang sangat diperlukan semasa situasi bencana.

Program Jiwa Putra 4.0 melibatkan penyertaan lebih 3,800 pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) yang akan menjalankan pelbagai aktiviti khidmat komuniti di sekitar kampus UPM. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk gotong-royong pembersihan, mengecat, mengutip sampah, serta aktiviti lain yang melibatkan kerjasama antara pelajar dan staf universiti. Lokasi aktiviti termasuk Kompleks Mahasiswa, Akademi Sukan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Dusun Contoh, Kolej Canselor, Kolej 12, Kolej 14, Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Dewan Besar, Pusat Penerbit UPM, dan Masjid UPM, bertujuan memperindah dan menjaga kebersihan kampus.

Objektif utama program ini adalah untuk memupuk semangat sayangkan universiti dan meningkatkan kesedaran pelajar tentang pentingnya memberi kembali kepada masyarakat. Selain memberi manfaat kepada pelajar, program ini juga memberi impak positif kepada komuniti kampus UPM. Aktiviti-aktiviti ini mengajar pelajar tentang kepentingan menjaga kebersihan, menghargai persekitaran, serta membina semangat kerjasama dan tanggungjawab.

Program Jiwa Putra 4.0 diharapkan dapat memberi impak positif dalam pembentukan karakter pelajar, mengasah kemahiran kepimpinan, kerjasama, dan memperkukuhkan semangat kekitaan di kalangan warga UPM. Program ini juga mengeratkan hubungan antara pelajar dan universiti, menjadikan UPM sebuah komuniti yang lebih prihatin dan bertanggungjawab.

Secara keseluruhan, Program Jiwa Putra 4.0 memberi inspirasi kepada pelajar untuk terus memberi sumbangan kepada masyarakat dan diharapkan akan terus berkembang, membawa lebih banyak impak positif di masa hadapan.
Tarikh Input: 26/11/2024 | Kemaskini: 26/11/2024 | saidatul.halim

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan