Kejohanan yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan UPM itu disertai lapan pasukan termasuk Kelab Badminton (KB) Tarantula, KB Putra, Bangi Shuttlers, S8 Shuttler, Harimau Desa Racquet dan KB Friday Night.

 

Pengarah Program Kejohanan, Chan Kok Lun mengakui penganjuran kejohanan tersebut mencapai objektif apabila berlangsung dengan jayanya tanpa sebarang masalah.

“Kejohanan ini merupakan salah satu daripada projek Kursus Kokurikulum yang kami ikuti dan objektif penganjuran adalah bagi memberi peluang kepada pelajar terlibat menimba pengalaman menguruskan kejohanan besar.

“Saya fikir kejohanan hari ini (semalam) boleh dianggap berlangsung dengan jayanya apabila mampu menarik pasukan-pasukan badminton yang berada di sekitar Bangi, Serdang dan Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Meskipun berpuas hati dengan penganjuran tersebut, namun Kok Lun yang juga pelajar semester dua Fakulti Ekonomi memasang impian untuk mengadakan kejohanan lebih besar pada masa hadapan.

“Walaupun kejohanan ini berjaya tetapi saya percaya ia masih boleh diperbaiki pada masa hadapan. Hasrat saya adalah untuk menganjurkan kejohanan terbuka kepada semua pemain di negeri-negeri berhampiran,” ujarnya.

Majlis tersebut dirasmikan oleh wakil Pengarah Pusat Kokurikulum UPM, Johar Mat Lajis.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di se­belah petang, KB Putra memastikan gelaran juara menjadi milik mereka apabila menang 2-1 ke atas Bangi Shuttlers.

Juara membawa pulang hadiah wang tunai RM300 serta sijil penyertaan, sementara naib juara meraih wang tunai RM200 dan sijil penyertaan.

Sementara itu, Kosmo! juga turut memeriahkan kejohanan tersebut de­ngan menghantar dua pasukan yang terdiri daripada 14 pemain.