

Serdang, 2 Oktober 2025 – Satu Latihan Kecemasan (Fire Drill) telah berjaya dilaksanakan di Kompleks Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menguji tahap kesiapsiagaan serta kecekapan tindakan warga universiti sekiranya berlaku sebarang insiden kecemasan sebenar. Program ini merupakan hasil kerjasama strategik tiga Pusat Tanggungjawab (PTJ), iaitu Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM UPM), Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) serta Bahagian Akademik (KAA).
Latihan ini dijalankan sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan universiti dalam memperkukuh budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan di kalangan staf serta pelajar. Melalui simulasi yang dilaksanakan, para peserta diberi pendedahan secara praktikal terhadap tatacara evakuasi bangunan, langkah-langkah keselamatan ketika kecemasan, serta kepentingan mematuhi arahan pihak berkuasa keselamatan.


Selain itu, latihan ini turut memberi peluang kepada semua warga Kompleks Mahasiswa untuk memahami peranan masing-masing semasa kecemasan, sekali gus meningkatkan koordinasi dan komunikasi antara pasukan keselamatan, pengurusan bangunan, serta penghuni kompleks.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Unit Bantu Mula, Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PPKKP-OSH UPM) dan Pusat Kesihatan Universiti (PKU UPM) atas sokongan, bimbingan serta bantuan teknikal yang amat penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan latihan ini.
Usaha bersepadu ini bukan sahaja memperkukuh tahap kesedaran keselamatan dalam kalangan komuniti universiti, malah turut menyokong matlamat UPM untuk mewujudkan persekitaran kampus yang selamat, sihat dan responsif terhadap sebarang situasi kecemasan.
Tarikh Input: 15/10/2025 | Kemaskini: 15/10/2025 | saidatul.halim

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan