MAHASISWA UPM BAWA KECERIAAN KEPADA KANAK-KANAK | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR pkpp
» BERITA » MAHASISWA UPM BAWA KECERIAAN KEPADA KANAK-KANAK

MAHASISWA UPM BAWA KECERIAAN KEPADA KANAK-KANAK

CHERAS – Seramai hampir 30 orang pelajar daripada kursus QKK2101 Bakti Siswa Kumpulan 16 Universiti Putra Malaysia telah berjaya menganjurkan Program Komuniti Children for Fun @ UPM 2024 di Rumah Ronald Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia pada 8 dan 9 Jun 2024 yang lalu.

 

       Program yang dianjurkan buat julung kalinya ini bertujuan untuk mewujudkan komunikasi dua hala antara mahasiswa dan masyarakat untuk sama-sama menggembirakan kanak-kanak pesakit dan ibubapa bagi memberi inspirasi serta dorongan kepada para peserta untuk belajar bersungguh-sungguh dan tidak berputus asa.

 

Pengarah program, Mohammad Arief Haikal Bin Mohd Nor berkata, program ini memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang aktiviti kesukarelawan dalam teras pendidikan yang membantu meningkatkan keterampilan kemahiran komunikasi dan kepimpinan pelajar melalui kerjasama bersama pihak luar.

 

 Beliau turut berkata, melalui interaksi dengan individu dari pelbagai latar belakang, mahasiswa dapat mempelajari mengenai sifat empati, kerjasama serta menghargai kepelbagaian. Mahasiswa juga dapat mengembangkan jaringan sosial. Hal ini demikian, mahasiswa dapat membina jaringan sosial yang kukuh melalui kerjasama dengan organisasi dan individu lain. “Kokurikulum khidmat masyarakat merupakan suatu platform yang bagus untuk membentuk mahasiswa menjadi individu yang proaktif dan berbakti kepada masyarakat,” ujarnya semasa upacara perasmian Program Komuniti Children for Fun @ UPM 2024 yang dihadiri oleh hampir 60 orang termasuk pelajar tempatan dan luar negara.

 

 Seorang kanak-kanak perempuan bernama Khadijah, yang berusia 9 tahun dari Kelantan, meluahkan rasa syukur dan kegembiraannya kerana menghadiri program yang begitu menyeronokkan dan memberikan pengalaman bermakna baginya. Bersama ibubapa dan adik-beradiknya, Khadijah menginap di Rumah Ronald kerana mempunyai janjitemu kesihatan pada hari berikutnya. Program yang berlangsung selama dua hari ini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan penyediaan makanan untuk staf, ibubapa, dan kanak-kanak yang hadir. Antara aktiviti lain termasuk pertandingan mewarna, sambutan hari lahir, gotong-royong menceriakan laman, serta sesi penanaman pokok. Program ini memberi peluang kepada semua peserta untuk bersosial dan berinteraksi secara positif.

 

 Puan Idayu Binti Mukti, pengurus Rumah Ronald Hospital Canselor Tuanku Muhriz menyuarakan bahawa program ini memberi pendedahan dan pendidikan kepada pelajar serta orang awam tentang kepentingan kesedaran sivik dalam masyarakat. Beliau menekankan bahawa kesedaran sivik adalah penting dalam membentuk generasi yang prihatin dan tidak hanya memeluk tubuh sebaliknya turun padang membantu.“Hasrat saya agar program ini dapat diteruskan lagi" ujar Puan Idayu, atau mesra disapa Puan Ayu, semasa majlis penutup di Rumah Ronald Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tarikh Input: 31/07/2024 | Kemaskini: 31/07/2024 | muhamadzulwaqa

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 1156
-
X, (09:21:58pm-09:26:58pm, 28 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]