

Sungai Besi, 22 Julai 2025 - Telah berlangsung Mesyuarat Majlis Kokurikulum Universiti Awam (UniCC) yang bertempat di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Mesyuarat ini merupakan platform penting yang menghimpunkan pengarah-pengarah Pusat Kokurikulum dari pelbagai Universiti Awam di seluruh negara dengan tujuan memperkukuhkan jaringan kerjasama, selain menyelaras hala tuju pelaksanaan kursus kokurikulum berkredit di institusi masing-masing.
Universiti Putra Malaysia (UPM) turut diwakili oleh Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad. Kehadiran beliau menzahirkan komitmen UPM dalam memastikan pelaksanaan kursus kokurikulum berkredit sentiasa relevan, dinamik serta sejajar dengan dasar semasa yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).


Antara agenda utama mesyuarat adalah perbincangan mengenai hala tuju dan penambahbaikan pelaksanaan kursus kokurikulum berkredit yang semakin mencabar dalam mendepani keperluan semasa mahasiswa. Mesyuarat turut menekankan kepentingan kokurikulum dalam melahirkan graduan seimbang dari aspek ilmu, kemahiran insaniah serta pembangunan sahsiah.
Selain itu, mesyuarat juga membincangkan cadangan pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di peringkat Universiti Awam. Inisiatif ini dilihat sebagai usaha strategik untuk memperkukuh disiplin, semangat patriotisme, jati diri dan kepimpinan dalam kalangan mahasiswa, selari dengan agenda pembangunan modal insan negara.
Secara keseluruhannya, mesyuarat UniCC ini menjadi wadah penting bagi menyelaraskan pelbagai dasar serta cadangan baharu yang mampu memberi impak positif kepada pembangunan pelajar. Ia juga mencerminkan kesungguhan Universiti Awam dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara melalui kursus kokurikulum berkredit yang lebih relevan, inklusif dan berpandangan jauh.
Tarikh Input: 30/09/2025 | Kemaskini: 30/09/2025 | saidatul.halim

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan