

Serdang, 21 Ogos 2025 – Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Mesyuarat Penyelarasan Indeks Holistik Pelajar (i-Hope) 2025 yang berlangsung di Bilik Serbaguna PKPP, UPM.
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh En. Dahlan Ismail Abu Bakar, Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar PKPP UPM, serta disertai oleh Pegawai Tadbir kolej-kolej kediaman dan fakulti-fakulti di seluruh UPM. Kehadiran wakil-wakil daripada pelbagai entiti universiti ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh usaha pembangunan pelajar secara menyeluruh.
Sepanjang mesyuarat, perbincangan utama tertumpu kepada dapatan terkini Indeks Holistik Pelajar (i-Hope) 2025 yang telah dilaksanakan. Para peserta turut mengemukakan pelbagai pandangan dan cadangan penambahbaikan yang konstruktif bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan indeks tersebut. Antara aspek yang diberi penekanan termasuklah mekanisme pelaporan, keberhasilan pelaksanaan di peringkat kolej dan fakulti, serta strategi untuk meningkatkan keberkesanan i-Hope sebagai indikator pembangunan pelajar UPM.


Inisiatif i-Hope merupakan satu usaha strategik universiti dalam menilai dan menyeimbangkan pencapaian pelajar bukan sahaja dari aspek akademik, malah turut merangkumi kepimpinan, sahsiah, kemahiran insaniah, kesejahteraan diri dan keterlibatan sosial. Melalui penilaian holistik ini, UPM berhasrat untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu, malah berdaya saing, berintegriti serta mempunyai nilai kepimpinan yang tinggi.
Penganjuran mesyuarat ini dilihat sebagai platform penting untuk menyelaras hala tuju pelaksanaan i-Hope secara lebih sistematik. Ia juga berjaya mengukuhkan jaringan kerjasama antara PKPP, kolej kediaman dan fakulti dalam merealisasikan agenda universiti untuk memperkasa pembangunan pelajar secara menyeluruh.
Dengan adanya penyelarasan berterusan ini, diharapkan i-Hope 2025 akan memberi impak positif terhadap pengukuhan ekosistem pendidikan pelajar di UPM, sekaligus menyumbang ke arah pembentukan modal insan unggul yang selaras dengan aspirasi universiti dan negara.
Tarikh Input: 30/09/2025 | Kemaskini: 30/09/2025 | saidatul.halim

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan