
4 Mac 2025 – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) telah mengadakan Mesyuarat Post-Mortem bagi Jawatankuasa Induk Misi Bantuan Banjir 2024/2025 yang bertempat di Bilik Serbaguna Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM). Mesyuarat ini bertujuan untuk menilai keberkesanan misi bantuan yang dijalankan sepanjang musim Monsun Timur Laut 2024/2025 serta membincangkan cadangan penambahbaikan bagi misi akan datang.

Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Pengarah PKPP UPM, Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad, dan dihadiri oleh wakil-wakil yang terlibat dalam menjayakan misi banjir yang lepas. Antara agenda utama yang dibincangkan termasuk laporan aktiviti, cabaran yang dihadapi, serta keberkesanan pelaksanaan misi bantuan kepada mangsa banjir.

Sepanjang tempoh misi, pelbagai bentuk bantuan telah disalurkan kepada mangsa banjir, antaranya aktiviti pembersihan kawasan terjejas, pengagihan makanan asas, penyediaan peralatan pembersihan, serta sumbangan barangan keperluan harian. Bantuan ini turut melibatkan kerjasama daripada pelbagai agensi bagi memastikan kelancaran pelaksanaan misi.

PKPP UPM turut mengiktiraf peranan sukarelawan dan pihak yang telah memberikan sumbangan tenaga serta sumber bagi menjayakan misi ini. Kecekapan koordinasi antara pelbagai pihak membuktikan semangat kesukarelawanan yang tinggi dalam membantu masyarakat yang memerlukan.

Diharapkan usaha bantuan kemanusiaan seperti ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan pada masa akan datang. UPM komited untuk terus memainkan peranan dalam membantu masyarakat yang terkesan akibat bencana alam demi kesejahteraan dan kebajikan mereka.
Tarikh Input: 05/03/2025 | Kemaskini: 05/03/2025 | syafiqirfan

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan