MINGGU PERKASA PUTRA 2025: SLOT KOKURIKULUM BERKREDIT | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR pkpp
» BERITA » MINGGU PERKASA PUTRA 2025: SLOT KOKURIKULUM BERKREDIT

MINGGU PERKASA PUTRA 2025: SLOT KOKURIKULUM BERKREDIT

UPM, 7 Oktober 2025 – Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melaksanakan dengan jayanya Slot Kursus Kokurikulum Berkredit sempena Minggu Perkasa Putra (MPP) 2025, bertempat di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM.

Slot yang julung kali diadakan pada minggu orientasi ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada pelajar baharu tentang pelaksanaan Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) serta peranan PKPP dalam membentuk mahasiswa yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan kemahiran insaniah.

 

Program dimulakan dengan persembahan penuh bersemangat daripada pelajar-pelajar kursus Kokurikulum Berkredit yang mempersembahkan kompang, silat dan silambam, antara kursus yang ditawarkan di bawah PKPP UPM. Persembahan tersebut bukan sahaja mempamerkan keunikan warisan budaya Melayu dan pelbagai kaum, malah mencerminkan semangat perpaduan serta nilai disiplin tinggi yang diterapkan dalam setiap kursus kokurikulum.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi pengenalan rasmi oleh Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad, Pengarah PKPP UPM, yang memperincikan fungsi dan tanggungjawab pusat tersebut dalam merancang serta melaksanakan kursus dan aktiviti pembangunan pelajar di peringkat universiti. Beliau menekankan bahawa pelajar UPM bukan sahaja perlu cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga perlu memiliki kemahiran insaniah, kepimpinan dan semangat berpasukan yang tinggi agar mampu berdaya saing di peringkat global.

 

Seterusnya, Ts. Dr. Rozzamri Ashari, Timbalan Pengarah Kokurikulum Berkredit PKPP UPM, turut memberikan penerangan mengenai struktur pelaksanaan kursus kokurikulum, termasuk komponen penilaian, kategori kursus serta manfaat penglibatan pelajar dalam aktiviti yang menyumbang kepada pembangunan sahsiah dan profesionalisme mereka.

Slot turut diserikan dengan perkongsian oleh En. Dahlan Ismail Abu Bakar, Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar PKPP UPM, yang menjelaskan pelbagai inisiatif dan program pembangunan pelajar di bawah kendalian PKPP. Beliau turut menekankan bahawa aktiviti seperti kepimpinan, kesukarelawanan, keusahawanan dan inovasi memainkan peranan penting dalam memperkukuh potensi serta jati diri mahasiswa sebagai Putra Leaders of Tomorrow.

 

Melalui pelaksanaan slot ini, para pelajar baharu dapat memahami dengan lebih jelas kepentingan kursus kokurikulum dalam perjalanan mereka sebagai mahasiswa UPM. Program ini juga berfungsi sebagai platform awal bagi membentuk kesedaran bahawa penglibatan aktif dalam kursus dan aktiviti pembangunan pelajar bukan sekadar memenuhi syarat kredit, tetapi menjadi medan latihan untuk membina karakter, nilai dan kompetensi diri yang unggul.

Secara keseluruhannya, Slot Kokurikulum Berkredit sempena Minggu Perkasa Putra 2025 berjaya mencapai objektifnya dalam menyemai semangat kebersamaan, membina jati diri serta memperkasa potensi pelajar baharu. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Universiti Putra Malaysia untuk melahirkan graduan berilmu, berdaya saing, berakhlak mulia dan berjiwa kepimpinan, seterusnya menjunjung tinggi moto universiti — “Berilmu Berbakti.”

Tarikh Input: 15/10/2025 | Kemaskini: 15/10/2025 | saidatul.halim

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 1156
-
X, (08:40:45pm-08:45:45pm, 16 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]