MISI BANTUAN PASCA BANJIR SIRI 4/2025 | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» BERITA » MISI BANTUAN PASCA BANJIR SIRI 4/2025

MISI BANTUAN PASCA BANJIR SIRI 4/2025

Pulau Pangkor - Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Skuad Jiwa Putra telah melaksanakan Misi Bantuan Pasca Banjir Siri 4/2025 pada 5 hingga 6 April 2025 bertempat di Kampung Masjid, Pulau Pangkor, Perak. Misi ini dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui inisiatif Skuad Ihsan Madani. Seramai 26 orang sukarelawan yang terdiri daripada pelajar dan staf UPM terlibat dalam misi ini, memberi tumpuan kepada kerja-kerja pembersihan pasca banjir di kawasan komuniti yang terjejas.



Antara aktiviti utama misi ini termasuklah pembersihan rumah penduduk, pembuangan barangan rosak, serta pembersihan kawasan awam seperti sekolah dan masjid. Tujuan utama adalah untuk memastikan persekitaran kembali bersih dan selamat untuk didiami. Selain itu, para sukarelawan juga berusaha membantu penduduk setempat yang terjejas akibat banjir besar yang melanda kawasan tersebut.



Turut bersama dalam misi ini ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, YBhg. Prof. Arifin Abdu, yang hadir memberikan sokongan moral kepada para sukarelawan. Beliau juga meninjau keadaan komuniti yang terjejas, menunjukkan keprihatinan terhadap kesusahan yang dialami oleh penduduk di Kampung Masjid.



Misi ini adalah hasil kerjasama erat antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Majlis Sukarelawan Universiti-Universiti Malaysia (MASKUM), Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM, dan Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) UPM. Inisiatif ini tidak hanya memberi impak positif kepada komuniti setempat, tetapi juga memupuk nilai keprihatinan dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa UPM, selaras dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan yang berjiwa masyarakat.



Pada hari kedua misi, 6 April 2025, para sukarelawan terus menunjukkan kecekalan dan semangat yang tinggi walaupun keletihan mula dirasai selepas seharian bekerja. Mereka meneruskan usaha pembersihan menyeluruh di rumah penduduk dan kawasan awam yang masih dipenuhi lumpur dan sisa banjir. Misi ini turut mendapat sokongan moral daripada Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Zambry Abdul Kadir, yang turut turun padang memberi semangat kepada para sukarelawan serta menyantuni penduduk setempat, memberikan gambaran jelas tentang keperluan bantuan yang mendesak bagi komuniti yang terkesan.

Tarikh Input: 08/04/2025 | Kemaskini: 08/04/2025 | syafiqirfan

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 1156
-
W, (08:56:00am-09:01:00am, 18 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]