Pembelajaran Silat Gayong Bersama Ahli Keluarga | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» BERITA » Pembelajaran Silat Gayong bersama Ahli Keluarga

Pembelajaran Silat Gayong bersama Ahli Keluarga

Oleh : Mohd Noornazmi bin Awg Ruslli

SERDANG, 10,11,12 dan 19 Jun 2021 – Seramai 40 orang pelajar kursus kokurikulum berkredit Pengenalan Silat Gayong Malaysia dengan kerjasama Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia telah menganjurkan program “When Silat Meet Family and Friends”. Di bawah bimbingan Encik Idris bin Shaffie @ Shafie selaku fasilitator, program komuniti ini dijalankan dengan jayanya. Pelajar-pelajar perlu mengajar ahli keluarga ataupun rakan mereka mengenai beberapa asas gerakan Silat Gayong. Antara gerakan yang telah diajar ialah senaman asas, gerakan asas 1-6 dan golongan 10. Proses pengajaran tersebut telah dirakam oleh pelajar seterusnya diserahkan kepada AJK Dokumentasi. Daripada video yang telah dihantar oleh semua pelajar, satu video montaj telah dihasilkan. Kesemua aktiviti yang dinyatakan di atas telah berlangsung pada 10 hingga 12 Jun 2021.

Gambar 1. Aksi para peserta mempelajari pergerakan silat.

 

Objektif program ini adalah untuk memperkenalkan warisan bangsa dan negara, Silat Gayong kepada komuniti yang terlibat iaitu ahli keluarga. Program ini juga dapat memupuk budaya yang sihat kepada ahli keluarga yang menyertai program tersebut. Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada para peserta melakukan aktiviti komuniti bersama ahli keluarga sewaktu Perintah Pergerakan Kawalan (PKP) serta menyahut seruan kerajaan untuk #DudukRumah bagi memutuskan rantaian Covid-19 yang melanda selain memenuhi objektif pembelajaran kokurikulum UPM.

Program ini selaras dengan norma baru pada masa kini iaitu pembelajaran secara atas talian dimana para peserta juga mempelajari gerakan-gerakan silat melalui video yang diberikan oleh fasilitator mereka seterusnya dipraktikkan melalui pembelajaran bersama ahli keluarga. Program ini dipantau oleh pengarah program iaitu saudara Mohd Noornazmi bin Awg Ruslli dan juga ahli jawatankuasa yang lain bagi kelancaran program ini.

Tema bagi program ini adalah “Keluarga Mengenal Silat, Memperkasakan Gaya Hidup Sihat”. Program ini juga dapat memberikan gambaran kepada masyarakat iaitu ahli keluarga tentang asas seni persilatan dan dapat digunakan pada masa hadapan jika berhadapan dengan situasi yang membahayakan diri. Proses pempelajaran yang dilakukan direkodkan dalam bentuk video berdurasi lima minit oleh setiap peserta dan semua video tersebut digabungkan dalam video akhir. Ahli jawatankuasa yang terlibat dalam pendokumentasian video akan berkongsi video montaj kepada para peserta dan ahli keluarga mereka sebagai hasil akhir program komuniti ini.

Pada 19 Jun 2021 iaitu pada hari sabtu minggu berikutnya, majlis penutupan bagi program “When Silat Meet Family and Friends” telah dijalankan. Majlis ini telah dirasmikan oleh Encik Nasarudin bin Che Ahmad selaku Pengerusi Teknikal PESAKA Putrajaya. Turut hadir Puan Arba’ah binti Md Salleh, Fasilitator Khas Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM sebagai tetamu kehormat. Majlis telah dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, Putra Gemilang dan lagu Silat Gayong. Seterusnya, saudara Muhammad Adam Luqman bin Husni telah membacakan doa bagi memberkati majlis penutupan program tersebut. Majlis diteruskan dengan tayangan video montaj yang telah disediakan oleh AJK dokumentasi. Video tersebut telah menceritakan keseluruhan program yang telah berlangsung. Setelah itu, pengarah program telah memberikan ucapan aluan yang juga diikuti oleh ucapan daripada Puan Arba’ah binti Md Salleh selaku fasilitator khas. Kemuncak majlis telah disempurnakan oleh Encik Nasarudin bin Che Ahmad, Pengerusi Teknikal PESAKA Putrajaya. Antara perkara penting yang telah disampaikan oleh Encik Nasarudin adalah silat bukan seni mempertahankan diri semata-mata, malah ia juga mampu meningkatkan disiplin dan keyakinan seseorang. Selain itu, silat juga mampu meningkatkan sahsiah diri dan membentuk pelajar yang beretika. Majlis penutupan ini diakhiri dengan sesi bergambar semua peserta dan tetamu kehormat.

 

Disediakan oleh :

NAMA : MOHD NOORNAZMI BIN AWG RUSLLI

TARIKH : 19/06/2021

Tarikh Input: 04/08/2021 | Kemaskini: 04/08/2021 | muhamadzulwaqa

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXDdMAv~