PKPP UPM JALIN KOLABORASI KEBAJIKAN BERSAMA KECHARA FOOD KITCHEN | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR pkpp
» BERITA » PKPP UPM JALIN KOLABORASI KEBAJIKAN BERSAMA KECHARA FOOD KITCHEN

PKPP UPM JALIN KOLABORASI KEBAJIKAN BERSAMA KECHARA FOOD KITCHEN

Hulu Kelang, 12 Januari 2026 – Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) terus komited dalam memperkasa pembelajaran berasaskan pengalaman apabila menjalin kolaborasi kebajikan bersama Kechara Food Kitchen (KSK) menerusi Program Kebajikan yang dilaksanakan di sekitar kawasan Hulu Kelang dan kawasan berhampiran.

Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara PKPP UPM dan pelajar kursus DCE5331 (Youth & Society) di bawah Program Sarjana Pembangunan Sumber Manusia, UPM. Pelaksanaan program ini bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai realiti kehidupan masyarakat setempat, khususnya golongan yang memerlukan bantuan, di samping mengukuhkan kefahaman mereka terhadap konsep pembangunan belia dan masyarakat yang dipelajari secara teori di dalam bilik kuliah.

 

Program kebajikan ini turut disertai oleh Pengarah PKPP, Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad bersama Timbalan Pengarah PKPP, Encik Dahlan Ismail Abu Bakar. Turut hadir sebagai pegawai pengiring ialah Puan Noor Rifa Kamarak dan Puan Noralis Buang yang bersama-sama memantau pelaksanaan program serta memastikan kelancaran aktiviti yang dijalankan sepanjang program berlangsung.

Melalui penglibatan aktif dalam aktiviti kebajikan ini, para pelajar berpeluang mengaplikasikan ilmu akademik dalam situasi sebenar, sekali gus memupuk nilai empati, tanggungjawab sosial dan kesukarelawanan. Pengalaman lapangan ini juga membantu pelajar memahami cabaran sosioekonomi yang dihadapi oleh masyarakat bandar serta kepentingan peranan belia dalam menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.

 

Pelaksanaan program ini hanya melibatkan kawasan Hulu Kelang dan sekitarnya, selaras dengan fokus bantuan yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur, Kechara Food Kitchen. Kerjasama ini secara tidak langsung memperlihatkan sinergi positif antara institusi pengajian tinggi dan organisasi kebajikan dalam usaha menyantuni masyarakat secara berterusan.

Pihak PKPP UPM berharap kolaborasi seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang bagi memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti. Usaha ini juga selari dengan aspirasi UPM dalam melahirkan graduan yang holistik, seimbang dari segi kecemerlangan akademik serta memiliki sahsiah, keprihatinan sosial dan nilai kemanusiaan yang tinggi.

Tarikh Input: 13/01/2026 | Kemaskini: 13/01/2026 | saidatul.halim

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 1156
-
X, (05:51:25am-05:56:25am, 23 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]