
02 Mei 2025 – Program Bakti MADANI @ Jiwa Putra 2025 anjuran Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya dijalankan dengan penuh jayanya, mencerminkan satu usaha besar dalam memperkukuh jalinan kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan komuniti luar bandar. Program yang berlangsung selama empat hari bermula 2 hingga 4 Mei 2025 di Kampung AGH SSTK dan Kampung Sawah Sempadan, Tanjong Karang ini menyatukan lebih 70 peserta termasuk mahasiswa UPM serta warga kampung.


Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Pengarah PKPP, Profesor Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad, dan juga turut dihadiri oleh tetamu kehormat antaranya Encik Muhammad Nafi’ Rezani Tahrir (Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar JPT), Encik Mohammad Syamil bin Rosli (Penolong Pengarah Kanan, BHEP UPM), Encik Zam Zaidi Masri (Pengerusi JPKK AGH Sawah Sempadan), serta Profesor Sidek Abdul Aziz (Pengerusi Agro Pelancongan Sawah Sempadan). Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah PKPP, Encik Fahmi Azar Mistar dan Ts. Dr. Rozzamri Ashari, serta pegawai-pegawai PKPP, serta keluarga angkat.
Pelbagai aktiviti yang berteraskan nilai Malaysia MADANI dilaksanakan sepanjang program, termasuklah aktiviti kekeluargaan bersama keluarga angkat, aktiviti rewang, kelas tuisyen untuk anak-anak kampung, eksplorasi budaya desa, lawatan ke kawasan sawah padi, serta penglibatan dalam perniagaan tempatan seperti kedai makan dan kraftangan. Program turut menerapkan elemen pemindahan ilmu, keusahawanan sosial dan kesukarelawanan, selari dengan aspirasi pembentukan mahasiswa berdaya saing dan berjati diri.


PKPP dengan kerjasama Saudagar Nenas Agrofarm, perniagaan milik alumni UPM, telah memberikan sumbangan 100 anak pokok nenas kepada keluarga angkat yang terlibat dengan program ini. Sumbangan ini diberikan bagi simbolik Program Bakti Madani @Jiwa Putra 2025 dan juga penghargaan kerana telah menyambut baik kedatangan PKPP/UPM.


Aktiviti seperti "Kayuhan MADANI", sesi memasak dan membuat kuih tradisional, penghasilan kraftangan daripada bahan terpakai, serta penerokaan sejarah dan warisan kampung melalui jalan air memperkayakan pengalaman mahasiswa, sekali gus merapatkan jurang antara warga kampus dan masyarakat luar bandar. Turut diadakan ialah sesi bimbingan akademik "Selangkah ke Universiti", sebagai inisiatif memberi pendedahan awal pada anak-anak yang masih bersekolah supaya mereka dapat merancang perjalanan pendidikan masa depan mereka dengan lebih teratur dan berjaya.


Program diserikan dengan Majlis Mahabbah dan Majlis Penutup dengan pertandingan dekorasi makanan tradisional antara anak dan keluarga angkat. Ia bukan sahaja mempamerkan kreativiti dan semangat berpasukan, malah menzahirkan keharmonian antara mahasiswa UPM dan komuniti setempat yang kini semakin rapat. Majlis ini dihadiri oleh tetamu kehormat termasuk Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Timbalan Pengarah PKPP, staf PKPP, Tok Ketua Kampung Sawah Sempadan, Pengerusi APSS, para pelajar yang terlibat, keluarga angkat, serta penduduk kampung.
Majlis turut diserikan dengan ucapan-ucapan ringkas daripada wakil pelajar, wakil keluarga angkat, Tok Ketua Kampung Sawah Sempadan dan Pengarah PKPP. Kesemua ucapan menyentuh tentang pengalaman bermakna sepanjang program berlangsung serta penghargaan atas kerjasama erat antara pelajar dan masyarakat kampung. Program ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara institusi pengajian dan masyarakat, malah membuka ruang kepada para pelajar untuk mengenali dan menyelami budaya serta kehidupan kampung yang unik dan penuh nilai murni.


Berlangsungnya Penyampaian Hadiah bagi kategori Dekorasi Hidangan Tercantik serta Busana Terbaik. Hadiah disampaikan oleh Pengarah PKPP dan Tok Ketua Sawah Sempadan kepada para pemenang mengikut kategori keluarga angkat iaitu "Mak dan Ayah", serta anak angkat , yang tampil dengan pakaian paling menarik dan kreatif selaras dengan tema majlis.

Program Bakti MADANI @ Jiwa Putra 2025 membuktikan bahawa pendidikan tinggi bukan hanya berteraskan pencapaian akademik semata-mata, tetapi turut merangkumi pembangunan insaniah, perpaduan sosial dan kesedaran sivik. Program ini menjadi wadah terbaik bagi mahasiswa UPM menyelami realiti kehidupan masyarakat desa sambil menabur bakti, menyemai nilai ihsan serta membina jati diri sebagai pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan.
Tarikh Input: 07/05/2025 | Kemaskini: 07/05/2025 | saidatul.halim

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan