PROGRAM KAMPUNG ANGKAT MADANI@JIWA PUTRA 2025 | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» BERITA » PROGRAM KAMPUNG ANGKAT MADANI@JIWA PUTRA 2025

PROGRAM KAMPUNG ANGKAT MADANI@JIWA PUTRA 2025

Tanjung Karang, 4 Ogos 2025 – Sesi pembukaan Program Kampung Angkat Madani @ Jiwa Putra 2025 anjuran Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berlangsung di Teratak Aziz Banun, Sawah Sempadan, Tanjung Karang.

 

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh En. Dahlan Ismail Abu Bakar, Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar PKPP UPM, yang turut menyempurnakan agihan Keluarga Angkat kepada para peserta. Turut hadir memberi sokongan ialah Ts. Dr. Rozzamri Ashari (Timbalan Pengarah Kokurikulum Berkredit PKPP UPM), En. Fahmi Azar Mistar (Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM), Prof. Dr. Sidek Abd. Aziz (Pengerusi Agro Pelancongan Sawah Sempadan) serta En. Mohammad Jamshari Kasim (Pengerusi JPKK Kg. Kunci Air Buang).

 

Pada sebelah malam, program diteruskan dengan sesi motivasi “Minda Positif, Hidup Progresif” bersama pelajar sekolah sekitar. Program ini berjaya membuka ruang refleksi, mencetus inspirasi, dan menyuntik nilai positif dalam kalangan peserta, selaras dengan semangat Berilmu Berbakti.

 

Kampung Sawah Sempadan, 5 Ogos 2025 – Program diteruskan dengan Gotong-Royong Komuniti UPM bersama penduduk kampung. Aktiviti ini bukan sahaja memperindah persekitaran, malah menyerlahkan semangat kerjasama dan keprihatinan dalam kalangan mahasiswa dan komuniti desa dalam menceriakan persekitaran.

 

Pada sesi petang, berlangsung Program Read@Uni: TUT & Cantuman Pokok Hiasan dan Buah-buahan | Landskap Tanaman Pokok Hiasan yang dikendalikan oleh Tn. Hj. Tajuddin Abdul Manap, Pengarah Tok Moh Herba Enterprise (Pesara UPM 2016). Beliau berkongsi teknik cantuman pokok dan penjagaan landskap untuk halaman rumah dan pertanian kecil.

Sesi seterusnya memberi tumpuan kepada topik pengurusan kewangan dan rekod perniagaan oleh Tn. Hj. Mat Amin Jaafar, Pengarah Urusan Amco Niaga Sdn. Bhd. (Alumni UPM 1994 & 2022). Perkongsian beliau memberi pendedahan penting mengenai kepentingan sistem catatan kewangan yang kemas dan efisien, disampaikan dengan bahasa mudah serta contoh “real case” yang memberi inspirasi kepada peserta.

Pada hari yang sama turut bermula Podcast Komuniti Secara Langsung Terpanjang di Malaysia, melibatkan panel dari pelbagai latar belakang dan agensi bagi menjayakan sesi perkongsian ilmu. Podcast tersebut berjalan selama 30 Jam tanpa henti dan menggunakan latar belakang yang neutral iaitu sawah padi. Bukan sahaja perkongsian ilmu tapi juga menjual produk penduduk lokal di Kampung Sawah Sempadan, Tanjung Karang, Selangor.

Selain itu, PKPP dengan kerjasama Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) menganjurkan program Cakna Kesihatan Desa: Menyatuni Komuniti, Menjaga Kesihatan yang menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma melalui Klinik Bergerak HSAAS. Program ini meningkatkan kesedaran masyarakat luar bandar tentang kepentingan penjagaan kesihatan dalam suasana penuh mesra.

 

Pada sebelah malam, suasana bertambah meriah dengan Pertandingan Gubahan Pulut Kuning bertemakan Desa Madani Lestari. Pelbagai rekaan kreatif dipersembahkan, daripada bentuk flora dan fauna hingga ke bentuk kapal Titanic, menonjolkan kreativiti serta warisan budaya desa dalam kerangka Malaysia MADANI. Disini, kita dapat melihat kreativiti dan kerjasama anak dan ibu bapa angkat mereka dalam menyiapkan gubahan tersebut untuk dipersembahkan kepada juri.

 

Tanjung Karang, 6 Ogos 2025 – Lawatan ke rumah keluarga angkat sempena program ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad, Pengarah PKPP UPM bersama YBhg. Dato’ Hj. Zainal Abidin Sakom (Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan), Datin Dr. (H.C) Hajah Hartini Osman (Pengerusi Yayasan Bina Kesejahteraan), dan Datin Dr. Norli Hj. Alias (WAWASANITA).

Lawatan ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim, menyantuni komuniti, serta menzahirkan nilai MADANI berteraskan kasih sayang, ihsan dan kepedulian. Delegasi beramah mesra dengan keluarga angkat, meninjau hasil kraftangan, serta menikmati jamuan istimewa yang disediakan.

 

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad, diiringi En. Fahmi Azar Mistar dan Saudari Fatin Nur Anisa Nastasya Mahamad Suri (Pengerusi Kelab Insan). Penyampaian cenderamata kepada ketua-ketua kampung menjadi tanda penghargaan atas kerjasama erat sepanjang program. Dengan doa penutup dan sesi bergambar, tirai Program Kampung Angkat Madani @ Jiwa Putra 2025 melabuhkan tirai dalam suasana penuh harmoni, kebersamaan, dan makna.

Tarikh Input: 30/09/2025 | Kemaskini: 30/09/2025 | saidatul.halim

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 1156
-
X, (01:39:31pm-01:44:31pm, 07 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]