
Sabtu, 12 April 2025 - Program Kerohanian Bina Insan Madani 2025 (Fasa II) telah berjaya dilaksanakan yang bertempat di Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) seawal jam 3:30 pagi. Peserta program ini terdiri daripada Mahasiswa UPM termasuk Majlis Perwakilan Pelajar, Majlis Perwakilan Kolej dan Barisan Kepimpinan Persatuan/Kelab UPM, Pelajar Asasi Sains dan Ahli Jawatankuasa Program, warga kolej kediaman serta pelajar kursus kokurikulum berkredit. Program dimulakan dengan sesi Qiamullail pada pukul 4 pagi kemudian diteruskan dengan solat Subuh berjemaah pada pukul 6 pagi.

Turut hadir bagi menjayakan program ini ialah YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air. Kehadiran beliau disambut baik oleh YBhg. Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Naib Canselor UPM bersama dengan Pengurusan Tertinggi UPM. Kesemua tetamu kehormat juga telah menghadiri slot Tazkirah Subuh yang diberi tajuk “Syawal Kesinambungan Bulan Ramadhan”. Tazkirah ini telah disampaikan oleh Ustaz Abdul Hadi Bakri Abdullah, Ahli Sekretariat Duat Al-Falah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Kemudian, Majlis perasmian penutupan Program Kerohanian Bina Insan Madani 2025 telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air. Tidak lupa juga, YBhg. Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah menjadi pembuka bicara dengan ucapan alu-aluan beliau yang telah menzahirkan penghargaan buat semua yang hadir bagi menjayakan Program Kerohanian Bina Insan Madani 2025. Dengan kerjasama semua pihak, program ini dapat berjalan dengan lancar dan mendapat penyertaan yang memberangsangkan.

Program diteruskan dengan forum "Keperibadian Madani Penyatu Ummah II" yang menampilkan YBhg. Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan juga Ustaz Abdul Hadi sebagai panel pada forum tersebut. Forum ini telah dipandu oleh Ustaz Zuhaimi Abd. Rahim, sebagai moderator. Semua peserta dapat memperolehi ilmu dan pengetahuan yang bermanfaat serta dapat dijadikan pengajaran dan panduan untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

Sementara itu, pelajar bukan Islam pula telah mengikuti sesi khas di Dewan Putra Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) UPM dalam slot “Konsep Malaysia Madani dan Keperibadian Mahasiswa UPM” yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Amini Amir Abdullah, Pengetua Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS) merangkap Pengerusi Jemaah Pengetua Kolej-Kolej Kediaman UPM. Slot ini bertujuan untuk memperkasa pelajar UPM agar menjadi insan holistik, berdaya saing dan berjiwa Madani, seiring dengan aspirasi negara. Tujuan utama slot ini juga adalah untuk memperkasa mahasiswa UPM supaya menjadi individu yang seimbang dari segi akademik, sahsiah, kepimpinan dan patriotisme, selari dengan Konsep Malaysia Madani dan strategi pembangunan pelajar (HEPA) di universiti.
Tarikh Input: 14/04/2025 | Kemaskini: 14/04/2025 | syafiqirfan

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan