PROGRAM KOPSTAR G2K 2025 | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» BERITA » PROGRAM KOPSTAR G2K 2025

PROGRAM KOPSTAR G2K 2025

KOPSTAR G2K : BUAL BICARA BELIA ”MENJADI EJEN PERUBAHAN – GRADUAN G2K DALAM DUNIA KOPERASI”

26 Mei 2025 – Universiti Putra Malaysia, Serdang. Slot pertama iaitu Bual Bicara Belia “Menjadi Ejen Perubahan: Graduan G2K Dalam Dunia Koperasi” telah membuka tirai Program Wacana Koperasi 2025 yang menampilkan En. Zainuddin Ali sebagai penceramah. Sesi ini memberi tumpuan kepada peranan strategik golongan belia, khususnya graduan Program Graduan ke Koperasi (G2K), dalam memacu perubahan positif dalam sektor koperasi.

Dalam pembentangannya, ditegaskan bahawa graduan perlu tampil sebagai agen perubahan yang berdaya saing, berfikiran inovatif serta mampu memanfaatkan peluang yang ditawarkan oleh gerakan koperasi. Selain itu, keterlibatan aktif golongan muda dalam bidang ini bukan sahaja mampu menjana pembangunan ekonomi komuniti, malah menyumbang kepada kelestarian gerakan koperasi negara dalam jangka masa panjang.

 

KOPSTAR G2K : KEYNOTE SPEAKER (PEMERKASAAN EKONOMI BELIA : PELUANG DAN POTENSI ERA PASCA-NORMAL)

Slot ucaptama bagi Program Wacana Koperasi dan Majlis Penghargaan Alumni Program Graduan ke Koperasi (G2K) telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad, Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) yang bertajuk “Pemerkasaan Ekonomi Belia: Peluang dan Potensi Era Pasca-Normal”. Slot ini menekankan keperluan mendesak untuk memperkukuh kedudukan golongan belia sebagai pemacu transformasi ekonomi negara, khususnya dalam menghadapi cabaran era pasca-normal yang penuh ketidaktentuan dan kompleksiti.

Menurut beliau, belia kini mewakili 33.6% daripada populasi negara, namun kadar pengangguran dalam kalangan belia, terutama mereka yang berumur 15 hingga 24 tahun, masih membimbangkan. Justeru, pendekatan baharu diperlukan bagi memastikan belia tidak terus ketinggalan dalam arus pembangunan. Antara potensi yang boleh diterokai ialah ekonomi digital dan gig, keusahawanan sosial, serta pembangunan kemahiran masa depan seperti literasi digital, kepimpinan berasaskan nilai, dan pemikiran reka bentuk. Beliau turut menyarankan agar belia dilihat bukan sekadar penerima dasar, tetapi sebagai rakan strategik dalam merangka dan melaksanakan dasar pembangunan.

 

KOPSTAR G2K : FORUM  (KOPERASI DAN GENERASI MUDA – HARAPAN & CABARAN)

Sesi forum yang bertajuk “Koperasi dan Generasi Muda – Harapan & Cabaran” telah menjadi salah satu pengisian utama bagi Program Wacana Koperasi dan Majlis Penghargaan Alumni Program Graduan ke Koperasi (G2K). Forum ini telah dipandu oleh En. Hamzi Fathul Zulwaqar bin Muhamad sebagai moderator. Dua panelis jemputan yang turut hadir ialah En. Nurakmal bin Awang dan En. Muhammad Hairie Syafiq yang juga merupakan individu berpengalaman dalam dunia koperasi dan penglibatan belia.

 

Perbincangan forum memberi tumpuan kepada isu-isu utama yang mempengaruhi penglibatan generasi muda dalam gerakan koperasi, termasuk persepsi terhadap koperasi sebagai entiti tradisional yang kurang menarik serta kekangan dari segi akses kepada maklumat, latihan dan pembiayaan. Namun demikian, para panelis menegaskan bahawa koperasi berpotensi besar menjadi platform pembangunan ekonomi belia sekiranya digerakkan dengan pendekatan yang lebih dinamik, digital dan berteraskan inovasi.

 

KOPSTAR G2K : MAJLIS PENGHARGAAN ALUMNI PROGRAM GRADUAN KE KOPERASI (G2K)

Majlis Penghargaan Alumni Program Graduan ke Koperasi (G2K) telah berlangsung dengna jayanya bersempena program KOPSTAR G2K sejurus selepas sesi Wacana Koperasi 2025. Turut hadir ialah tetamu kehormat daripada Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan juga Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi memeriahkan lagi majlis. Program KOPSTAR G2K adalah program anjuran PKPP dengan kerjasama IKMa yang berlangsung di Dewan Taklimat Serdang UPM.

 

Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Encik Mohd Zaib Bin Mat Yunus, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Modal Insan) IKMa, yang menekankan kepentingan membina kapasiti modal insan koperasi dalam kalangan generasi muda. Seterusnya, ucapan alu-aluan disampaikan oleh Ts. Dr. Rozzamri Ashari, Timbalan Pengarah PKPP, yang merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat atas komitmen yang tinggi dalam memperkasakan Program G2K. Majlis kemudiannya dirasmikan oleh Datuk Mohamad Ali bin Mansor, Ketua Pengarah IKMa, diikuti dengan gimik penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) antara UPM dan IKMa sebagai simbolik pemeteraian kerjasama strategik dalam pembangunan koperasi.

 

Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada alumni G2K, koperasi rakan pelaksana serta universiti rakan strategik yang telah menunjukkan komitmen dalam menyokong usaha pembangunan koperasi dalam kalangan belia. Majlis ini bukan sahaja menghargai sumbangan yang telah diberikan, malah menjadi simbol pengiktirafan terhadap usaha berterusan dalam memperkukuh peranan koperasi sebagai platform pembangunan ekonomi dan kepimpinan generasi muda.

Tarikh Input: 04/06/2025 | Kemaskini: 04/06/2025 | saidatul.halim

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 1156
-
W, (11:07:21am-11:12:21am, 16 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]