PROGRAM NATIONAL ACHIEVERS CONGRESS (NAC) SINGAPORE 2025 | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» BERITA » PROGRAM NATIONAL ACHIEVERS CONGRESS (NAC) SINGAPORE 2025

PROGRAM NATIONAL ACHIEVERS CONGRESS (NAC) SINGAPORE 2025

𝗦ingapura, 23 Ogos 2025 – Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan penuh rasa bangga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada sepuluh (10) orang pelajar UPM yang telah berjaya terpilih menyertai Program National Achievers Congress (NAC) Singapore 2025 yang berlangsung di Marina Bay Sands, Roselle Simpor Ballroom, Level 4, Singapura. Program berprestij ini menghimpunkan pemimpin muda, pakar industri serta ikon pembangunan diri dari seluruh dunia.

Daripada sepuluh pelajar tersebut, empat (4) orang merupakan pemenang Hadiah Utama Pertandingan Cashflow yang dianjurkan semasa Program Wacana Kepimpinan Kewangan (WAKE) 2025: Dari Kampus ke Kehidupan anjuran PKPP. Pertandingan ini berperanan sebagai platform untuk mengasah kemahiran pengurusan kewangan, pemikiran strategik serta kepimpinan melalui simulasi dan cabaran kewangan yang kreatif.

Sementara itu, enam (6) lagi pelajar merupakan fasilitator WAKE 2025 yang turut menerima tajaan untuk bersama-sama menyertai NAC 2025. Pemilihan mereka membuktikan bahawa peranan fasilitator bukan sahaja terbatas kepada penganjuran program, malah diiktiraf sebagai agen pembangunan pelajar yang mampu memimpin, membimbing dan memberi inspirasi kepada rakan sebaya.

 

Seorang pemenang WAKE, Shiham, berkongsi pengalamannya:
“Saya rasa sangat bersyukur dan teruja kerana berpeluang menyertai program NAC di Singapura. Ia bukan sekadar sebuah program, tetapi pengalaman yang membuka mata dan minda. Program ini memberi semangat baharu untuk saya berfikir lebih besar, berani melangkah keluar dari zon selesa dan mengejar impian dengan lebih yakin.”

Manakala fasilitator WAKE, Mira, turut meluahkan rasa syukur:
“Program NAC ini amat berimpak tinggi. Ia memberi pendedahan kepada ilmu baharu daripada penceramah hebat, di samping membuka peluang untuk menambah pengalaman serta membina jaringan persahabatan dengan rakan-rakan dari pelbagai negara. Pengalaman ini sangat bermakna dan menjadi motivasi untuk saya terus berkembang.”

Menariknya, pelajar UPM juga telah diberi kepercayaan untuk menjadi fasilitator bagi Cashflow Gameboard yang melibatkan penyertaan antarabangsa termasuk pemain dari Rusia dan Korea, dikendalikan oleh Abang Abu.

 

Menurut Pengarah PKPP, Prof Madya Dr Mohd Mursyid Arshad, penyertaan ini bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan serta kepimpinan pelajar UPM, malah membuka ruang luas untuk mereka menimba ilmu, memperoleh pengalaman berharga dan membina rangkaian antarabangsa dalam bidang kepimpinan kewangan, keusahawanan serta pembangunan sahsiah diri.
“Program ini menyerlahkan kompetensi pelajar di samping membangunkan aset dalaman, kemahiran insaniah dan jaringan di peringkat global,” ujar beliau.

Kejayaan ini selaras dengan aspirasi UPM untuk melahirkan graduan holistik, berdaya saing serta bercirikan kepimpinan global. Dengan penyertaan di NAC 2025, para pelajar diharapkan dapat membawa pulang ilmu, pengalaman dan inspirasi baharu untuk dikongsi bersama rakan-rakan, sekali gus memberi impak positif terhadap pembangunan mahasiswa UPM secara menyeluruh.

Tarikh Input: 30/09/2025 | Kemaskini: 30/09/2025 | saidatul.halim

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 1156
-
W, (04:49:00pm-04:54:00pm, 19 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]