PROGRAM PENSIJILAN ASAS PERTOLONGAN CEMAS 2025 | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» BERITA » PROGRAM PENSIJILAN ASAS PERTOLONGAN CEMAS 2025

PROGRAM PENSIJILAN ASAS PERTOLONGAN CEMAS 2025

22 Februari 2025 - Program Pensijilan Asas Pertolongan Cemas telah berjaya dianjurkan yang bertempat di Dewan Putra, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan penyertaan pelajar dan staf Universiti Putra Malaysia (UPM). Program ini bertujuan memberikan pengetahuan serta kemahiran asas dalam pertolongan cemas bagi meningkatkan kesiapsiagaan peserta dalam menghadapi kecemasan. Sepanjang program ini, peserta mengikuti pelbagai slot yang menumpukan kepada aspek-aspek penting dalam pertolongan cemas.



Slot pertama, Asas Pertolongan Cemas, bermula pada jam 9.00 pagi dan dikendalikan oleh LT. (PA) Abdullah bin Mohamad, Pegawai Unit Latihan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Selangor. Dalam sesi ini, peserta didedahkan kepada prinsip asas dalam memberikan bantuan kecemasan sebelum bantuan perubatan profesional tiba. Teknik mengenal pasti kecemasan serta tindakan awal yang perlu diambil turut ditekankan bagi memastikan keberkesanan pertolongan.



Slot kedua, Bantuan Pernafasan (CPR) & Tercekik, berlangsung pada jam 10.00 pagi dan memberi pendedahan kepada teknik menyelamatkan nyawa melalui bantuan pernafasan kecemasan. Peserta mempelajari langkah-langkah CPR menggunakan patung latihan khas serta cara menangani mangsa tercekik. Latihan ini membantu peserta memahami kepentingan bertindak pantas dalam situasi kritikal.



Seterusnya, slot ketiga bertajuk Pendarahan, Luka & Balutan diadakan pada jam 11.00 pagi. Dalam sesi ini, peserta diajar cara mengenal pasti tahap pendarahan, teknik balutan yang sesuai, serta penggunaan alat bantuan kecemasan. Latihan praktikal diberikan bagi memastikan peserta memahami dan dapat mengaplikasikan teknik kawalan pendarahan sebelum mendapatkan rawatan lanjut.



Slot terakhir, Melawan Kebakaran, bermula pada jam 2.00 petang dan memberi pendedahan kepada teknik asas mengawal serta memadam kebakaran dengan selamat. Peserta mempelajari jenis-jenis kebakaran, cara penggunaan alat pemadam api, serta langkah keselamatan ketika berhadapan dengan kebakaran kecil. Mereka turut berpeluang mencuba sendiri kaedah memadam api menggunakan peralatan yang disediakan.



Program Pensijilan Asas Pertolongan Cemas ini berjaya mencapai objektifnya dalam meningkatkan kesedaran dan kemahiran peserta dalam pertolongan cemas. Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program ini. Dengan berakhirnya program ini, diharapkan peserta dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh bagi membantu dalam situasi kecemasan pada masa akan datang.

Tarikh Input: 03/03/2025 | Kemaskini: 03/03/2025 | syafiqirfan

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 1156
-
W, (05:20:56pm-05:25:56pm, 18 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]