Universiti Putra Malaysia Serdang, 10 Februari 2026 - Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia telah menyahut seruan gaya hidup sihat dengan menyertai secara aktif Program PUTRA Sihat 10,000 Langkah UPM Siri 1.0 yang dianjurkan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM). Program ini dilaksanakan dengan kerjasama strategik pelbagai entiti universiti iaitu Akademi Sukan UPM, Pusat Kesihatan Universiti UPM, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPM serta Pusat Wakaf, Zakat dan Endowmen UPM.
Program ini bertujuan memupuk budaya hidup sihat dalam kalangan warga kampus melalui amalan berjalan 10,000 langkah sebagai satu rutin harian yang mudah, berkesan dan berimpak tinggi terhadap kesejahteraan fizikal dan mental. Penyertaan daripada staf dan pelajar menunjukkan komitmen tinggi komuniti universiti dalam menyokong inisiatif kesihatan yang mampan selaras dengan usaha melahirkan warga UPM yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan kesihatan.
Sepanjang program berlangsung, para peserta berpeluang melakukan aktiviti berjalan santai di sekitar kampus sambil menikmati suasana persekitaran yang hijau dan kondusif. Selain itu, program ini juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara warga universiti, di samping meningkatkan kesedaran tentang kepentingan aktiviti fizikal dalam kehidupan seharian.
Penyertaan aktif daripada Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM turut mencerminkan sokongan berterusan terhadap agenda universiti dalam membudayakan gaya hidup sihat serta kesejahteraan holistik dalam kalangan pelajar dan staf. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan secara konsisten pada masa hadapan sebagai satu usaha berterusan dalam membentuk komuniti kampus yang lebih sihat, cergas dan produktif.
Tarikh Input: 24/02/2026 | Kemaskini: 24/02/2026 | saidatul.halim

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan