
23 Februari 2025 – Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Masjid Kampung Tunku telah menganjurkan Program Santuni Madani 2025 @ Kampung Tunku di Masjid Kampung Tunku, Petaling Jaya. Program ini menyaksikan kehadiran 10 orang pelajar dari Team Jiwa Putra @ PKPP UPM yang diiringi oleh dua pegawai dari Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) UPM. Mereka bersama-sama komuniti setempat melaksanakan aktiviti gotong-royong menceriakan kawasan masjid bermula seawal jam 8.00 pagi.

Majlis Perasmian program berlangsung pada jam 11.00 pagi dan disempurnakan oleh Naib Canselor UPM, YBhg. Dato' Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah. Sebagai simbolik perasmian, beliau telah menandatangani papan tanda perasmian serta menyampaikan anak pokok Jambu Delima Putra kepada komuniti setempat sebagai tanda penghargaan dan simbol kehijauan persekitaran.

Pengarah PKPP, Prof Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad, berkata bahawa penglibatan sukarelawan Team Jiwa Putra dalam program ini membuktikan komitmen institusi pendidikan tinggi dalam membentuk masyarakat yang prihatin dan harmoni. Program seperti ini, menurut beliau, bukan sahaja merapatkan hubungan antara mahasiswa dan komuniti, malah memupuk semangat kesukarelawanan serta kesedaran terhadap kebersihan persekitaran.

Selain gotong-royong, program ini turut diisi dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan penduduk setempat. Ini termasuk sesi perkongsian ilmu, ceramah motivasi, serta penyampaian sumbangan kepada golongan memerlukan. Inisiatif ini mendapat sambutan positif daripada masyarakat yang menganggap ia sebagai langkah proaktif dalam memperkukuh hubungan antara institusi akademik dan komuniti.

Dengan kejayaan penganjuran Program Santuni Madani 2025 @ Kampung Tunku, UPM berharap usaha sebegini dapat diteruskan dan diperluaskan ke lokasi lain pada masa akan datang. Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat setempat tetapi juga membentuk mahasiswa yang lebih bertanggungjawab dan cakna terhadap isu kemasyarakatan.
Tarikh Input: 03/03/2025 | Kemaskini: 03/03/2025 | syafiqirfan

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan