TRAIN OF TRAINERS PELAKSANAAN PROGRAM MODUL 3P 2025 DI UPMS | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» BERITA » TRAIN OF TRAINERS PELAKSANAAN PROGRAM MODUL 3P 2025 DI UPMS

TRAIN OF TRAINERS PELAKSANAAN PROGRAM MODUL 3P 2025 DI UPMS

UPMS, 27 September 2025 – Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya menganjurkan sesi Train of Trainers (TOT) bagi pelaksanaan Program Modul Pembangunan Profesionalisme Pelajar (3P) yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS).

Program TOT ini bertujuan untuk melatih para Fasilitator Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) di UPMS agar mereka dapat melaksanakan dan menyampaikan Modul 3P dengan lebih berkesan, tersusun serta memberi manfaat maksimum kepada mahasiswa. Penganjuran ini juga menjadi salah satu inisiatif penting PKPP UPM dalam memperkukuh keberkesanan program pembangunan pelajar di kampus cawangan.

Sesi dimulakan dengan penyampaian taklimat oleh En. Dahlan Ismail Abu Bakar, Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar PKPP UPM yang memberikan penerangan mengenai pelaksanaan modul, objektif serta strategi pelaksanaan yang perlu ditekankan oleh fasilitator. Turut hadir sama memberikan sokongan ialah Ts. Dr. Rozzamri Ashari, Timbalan Pengarah Kokurikulum Berkredit PKPP UPM.

 

Manakala sesi utama TOT telah disampaikan oleh Nor Syazila Abd Rahim, Fasilitator Khas KKB dan juga penceramah bagi Program Modul 3P PKPP UPM, yang berkongsi kepakaran serta panduan pelaksanaan kepada para fasilitator UPMS. Melalui sesi ini, para peserta bukan sahaja diberi pendedahan tentang teknik penyampaian modul, malah turut dilatih dengan kemahiran fasilitasi yang interaktif dan efektif.

Secara keseluruhannya, penganjuran TOT Program Modul 3P ini telah memberi latihan komprehensif dan pengalaman praktikal kepada fasilitator KKB UPMS. Inisiatif ini diyakini dapat memastikan pelaksanaan modul 3P berjalan lancar serta menyumbang kepada peningkatan tahap profesionalisme, sahsiah dan pembangunan holistik mahasiswa di UPMS.

Program ini sekaligus mencerminkan komitmen PKPP UPM dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki kemahiran insaniah, kepimpinan dan nilai-nilai profesionalisme yang tinggi, selaras dengan aspirasi UPM sebagai universiti bertaraf antarabangsa.

Tarikh Input: 01/10/2025 | Kemaskini: 01/10/2025 | saidatul.halim

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 1156
-
W, (10:46:58pm-10:51:58pm, 16 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]