TRAIN OF TRAINERS PELAKSANAAN PROGRAM MODUL RUKUN NEGARA 2025 DI UPMS | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» BERITA » TRAIN OF TRAINERS PELAKSANAAN PROGRAM MODUL RUKUN NEGARA 2025 DI UPMS

TRAIN OF TRAINERS PELAKSANAAN PROGRAM MODUL RUKUN NEGARA 2025 DI UPMS

UPMS, 28 September 2025 – Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya menganjurkan Train of Trainers (TOT) bagi pelaksanaan Program Modul Rukun Negara (RN) di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS). Program ini bertujuan melatih barisan Fasilitator Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) di UPMS agar pelaksanaan modul dapat dijalankan secara lebih teratur, berkesan, serta memberi impak positif kepada mahasiswa.

Sesi latihan ini dimulakan dengan perkongsian oleh Ts. Dr. Rozzamri Ashari, Timbalan Pengarah Kokurikulum Berkredit PKPP UPM, yang menekankan kepentingan pemantapan ilmu serta peranan fasilitator sebagai agen penyampai nilai-nilai murni berlandaskan Rukun Negara. Slot seterusnya diteruskan dengan pengisian oleh En. Dahlan Ismail Abu Bakar, Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar PKPP UPM, yang menyentuh aspek strategi pelaksanaan, teknik fasilitasi yang berkesan, serta pendekatan pedagogi dalam membimbing mahasiswa.

 

Penganjuran TOT ini bukan sekadar latihan teknikal, malah menjadi platform untuk memperkukuh kefahaman para fasilitator terhadap falsafah dan aspirasi Rukun Negara sebagai tunjang perpaduan, jati diri, dan semangat kenegaraan. Melalui sesi interaktif, perbincangan kumpulan, dan perkongsian pengalaman, para fasilitator didedahkan dengan pelbagai kaedah penyampaian yang mampu menarik minat serta memberi impak mendalam kepada mahasiswa.

Secara keseluruhan, TOT Program Modul Rukun Negara 2025 ini telah berjaya memberikan pendedahan komprehensif kepada fasilitator KKB di UPMS. Usaha ini diyakini mampu memastikan pelaksanaan modul berjalan dengan lancar, sistematik, serta berkesan dalam menyemai nilai patriotisme, memperkukuh identiti nasional, dan menanamkan rasa cinta akan negara dalam kalangan mahasiswa.

Dengan terlaksananya program ini, PKPP UPM terus komited dalam memperkasakan pembangunan sahsiah dan jati diri mahasiswa melalui pengintegrasian nilai-nilai Rukun Negara dalam pengajaran kokurikulum, selaras dengan aspirasi UPM untuk melahirkan graduan holistik, berciri kepimpinan, dan berdaya saing di peringkat global.

Tarikh Input: 01/10/2025 | Kemaskini: 01/10/2025 | saidatul.halim

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 1156
-
X, (08:12:15am-08:17:15am, 14 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]