Selangor Drug Awareness Month | CO-CURRICULUM AND STUDENT DEVELOPMENT CENTRE
» NEWS » Selangor Drug Awareness Month

Selangor Drug Awareness Month

Selangor kenal pasti 15 lokasi dadah

Amirudin ketika berucap sebelum merasmikan Bulan Anti dadah Peringkat Negeri Selangor di UPM, hari ini. - Foto Pejabat MB Selangor
 

SERDANG - Sebanyak 15 lokasi dikenalpasti kawasan berisiko tinggi (KBT) penyalahgunaan dadah di Selangor termasuk Semenyih, Kajang, Hulu Kelang, Bandar Ampang dan Batu 9, Cheras.

 

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari selain kawasan tersebut, Sungai Besar, Rawang, Selayang, Gombak, Pandan Indah, Bangi, Serdang, Pandamaran, Bandar Klang dan Petaling Jaya Selatan turut dikenalpasti sebagai kawasan berisiko.

Menurutnya, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1 juta melalui belanjawan 2019 dalam usaha mengekang dan menangani isu penyalahgunaan dadah di negeri ini.

 

“Saya difahamkan hanya satu daripada 15 kawasan tersebut iaitu Petaling Jaya Selatan berjaya diturunkan dari klasifikasi kawasan berisiko tinggi kepada kawasan berisiko atas usaha Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bersama rakan strategik dan rakan pintar sejak dua tahun lalu.

“Dalam usaha jadikan semua 15 kawasan ini sebagai kawasan selamat, strategi pemberdayaan komuniti dilihat penting dalam memberi pengetahuan dan kefahaman mengenai bahaya dadah kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bulan Anti dadah Peringkat Negeri Selangor di Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Amirudin ketika merasmikan Bulan Anti dadah Peringkat Negeri Selangor di UPM, hari ini.
Amirudin ketika merasmikan Bulan Anti dadah Peringkat Negeri Selangor di UPM, hari ini.

Amirudin berkata, menurut statistik daripada AADK jumlah penyalahgunaan dan penagih dadah di Selangor adalah seramai 14,556 menjadikan ia negeri keempat tertinggi di negara ini.

Bagaimanapun jika dibandingkan dengan jumlah penduduk di Selangor, ratio sebanyak 0.23 peratus menjadikan Selangor berada di kedudukan ke 13 di Malaysia.

“Namun begitu saya tidaklah memandang remeh isu dan masalah penyalahgunaan dadah di negeri ini kerana hingga hari ini ia menjadi satu ancaman besar kepada negara.

“Ia melibatkan pelbagai lapis masyarakat merentasi umur, jantina, taraf pendidikan serta sosio ekonomi dan ini menunjukkan bahawa setiap individu berpotensi terlibat dengan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Terdahulu beliau berkata, strategi perlu dilaksanakan bagi menyedarkan ahli komuniti mengenai peranan dan tanggungjawab dalam merancang, menggerak dan melaksanakan program serta aktiviti pendidikan pencegahan serta rawatan dan pemulihan dadah.

Katanya, satu projek rintis juga perlu dilaksanakan bagi membersihkan KBT secara total untuk dijadikan contoh kepada pelaksanaan program pemutihan kawasan-kawasan berisiko dadah yang lain.

“Pendekatan secara holistik dan inklusif perlu ditekankan dalam mempergiat penyertaan komuniti dan kolaborasi pelbagai pihak dalam membentuk komuniti yang aktif dan berdaya huni bagi mewujudkan kualiti persekitaran setempat yang aman dan selamat,” katanya.

Date of Input: 25/02/2019 | Updated: 04/03/2019 | hairulnizam

MEDIA SHARING

CO-CURRICULUM AND STUDENT DEVELOPMENT CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXEUMAS~