“SIHAT BADAN, SIHAT JIWA” | PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
» ARTIKEL

“SIHAT BADAN, SIHAT JIWA”

 Satu program Komuniti “Sihat Badan, Sihat Jiwa” dari Bakti Siswa Kumpulan 1, Semester 2, Sesi 2020/2021 telah diadakan dengan kerjasama anjuran Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM) Bakti Siswa Kumpulan 1  bersama Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia , Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Desa Pinggiran Putra, Pegawai Kesihatan Pejabat Kesihatan Putrajaya pada hari Sabtu yang bertarikh 05 Jun 2021, 12 Jun 2021 dan Ahad, 13 Jun 2021. Program ini berlangsung selama 3 hari di platform media sosial. Seramai 40 pelajar dari UPM yang terlibat bersama seorang fasilitator yang turut menjayakan program ini. Program ini diadakan bertujuan meningkatkan kemahiran insaniah terutamanya daripada aspek kepimpinan, etika dan moral serta kerja berkumpulan. Di samping melahirkan mahasiswa yang mempunyai perasaan empati terhadap masyarakat dan mengajar mahasiswa agar sentiasa hormat dan sayang akan masyarakat sekeliling dan mahasiswa sentiasa berpeluang berbakti menyebarkan kesedaran sosial dan kepentingan kesihatan mental kepada komuniti walaupun secara atas talian.

 Pada hari pertama iaitu 05 Jun 2021, pelajar berkumpul dalam platform “Google Meet” dan program bermula dengan pemberian taklimat oleh fasilitator mengenai aktiviti yang akan dijalankan. Fasilitator kemudian berbincang dengan pelajar mengenai video pesanan kesedaran sosial yang bersesuaian dengan tema ditetapkan dan pengumpulan soalan Kajian Pengurusan Emosi dan Stres. Program disusuli dengan penerangan ringkas oleh pengarah mengenai video yang ditayangkan kepada pegawai dari Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) dan Fasilitator Khas untuk dinilai dan diluluskan. Setiausaha pula meneruskan perjalanan program dengan memberi ulasan mengenai perancangan video tersebut dan mula bersama-sama membuat penambahbaikan dan pindaan jika perlu sebelum video dikongsikan di media sosial. Kemudian setiausaha memberi ulasan mengenai media sosial serta pengumpulan soalan Inventori  Kesihatan Mental DASS.

 

 Pada hari kedua iaitu 12 Jun 2021, pelajar berkumpul dalam platform “Google Meet” dan program bermula dengan pemberian taklimat oleh pengarah mengenai aktiviti yang akan dijalankan. Kemudian, program bermula dengan Majlis Perasmian Program Komuniti “Sihat Badan, Sihat Jiwa” yang telah dirasmikan oleh En. Mohd Isnain bin Ali, Ketua Bahagian Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia. Kemudian, program berlangsung seperti yang dirancang iaitu, pada sesi pagi, Slot Jom Sihat bersama Zumba Instructor (ZIN Intan) bersama komuniti warga Desa Pinggiran Putra, Kajang dan kawasan sekitarnya telah dijalankan. Para peserta telah menyambut meriah program zumba ini dengan 101 penyertaan termasuk pelaja UPM. Seterusnya slot kedua disambung dengan  ceramah virtual Gaya Hidup Sihat oleh Puan Intan Safinar, Pegawai Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Beliau telah berkongsi mengenai pengamalan penjagaan kesihatan, aktiviti fizikal yang efektif dan pemakanan yang seimbang untuk kekal sihat walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Slot seterusnya pula berlangsung dengan perkongsian dua video kesedaran sosial dan kepentingan kesihatan mental yang telah dihasilkan oleh pelajar UPM Baktisiswa Kumpulan 1 dan dibentangkan di platform ‘Google Meet’ dan ianya dikongsikan kepada umum melalui akaun persendirian pelajar, akaun rasmi Bakti Siswa Kumpulan 1 iaitu Facebook; Bakti Siswa Kumpulan 1,  Instagram; @baktisiswag1upm dan YouTube; Bakti Siswa UPM. Pada slot tengah hari pula, aktiviti seterusnya yang dijalankan ialah perbincangan kajian maklumbalas daripada komuniti mengenai respons video. Program hari kedua ini diakhiri dengan pembentangan keputusan  respons 2 video yang dikongsikan di media sosial dan perbincangan maklum balas komuniti mengenai Slot 1 dan 2 iaitu Pengurusan Kesihatan dan Gaya Hidup Sihat.

 

 Pada hari terakhir iaitu 13 Jun 2021 sesi pagi, program dimulakan dengan pemberian taklimat mengenai aktiviti yang akan dijalankan oleh fasilitator. Kemudian, slot seterusnya disambung dengan Webinar “Santuni Jiwa, Hidup Bahagia” oleh Kaunselor Universiti Islam Antarabangsa, En Hafifi  bin Zolkiaply. Program ini telah memberi banyak maklumat kepada para peserta tentang kaedah-kaedah paling berkesan untuk memupuk jiwa dan minda supaya sentiasa optimis dan menyemai kasih sayang terhadap diri, keluarga dan masyarakat . Selanjutnya program diteruskan dengan Perbincangan dan pembentangan laporan maklum balas komuniti mengenai video dan pengesahan penyertaan peserta dalam Inventori Kesihatan Mental DASS iaitu seramai 102 peserta termasuk pelajar UPM. Slot tengahari pula dimulakan dengan Ceramah Perkongsian Inventori Kesihatan Mental DASS bersama Kaunselor UPM, Puan Kamariah binti Derasol. Akhir sekali, program diakhiri dengan Majlis Penutup bersama TS. Mohd Izhwan bin Muhammad iaitu Fasilitator Khas Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia bagi menjayakan Majlis Penutup Program Komuniti “Sihat Badan, Sihat Jiwa”. Seterusnya, pembentangan daripada ahli jawatan kuasa tentang keputusan dua video kesedaran sosial dan kepentingan kesihatan mental yang bertajuk “Ways To Build a Healthy Family”, dan “Awareness About Mental Health”, Bakti Siswa Kumpulan 1 telah berjaya mengumpul penonton sebanyak 114 respon di Facebook, 249 respon di Instagram, 407 respon di Youtube dengan jumlah keseluruhan respons tontonan ketiga-tiga video adalah sebanyak 770 respon.

 Untuk hasil dapatan Kajian Pengurusan Stress dan Emosi Semasa Pandemik Covid-19, atau Ujian DASS pula, Baktisiswa Kumpulan 1 telah berjaya mengumpul sebanyak 80 respondens dengan keputusan akhir adalah 50 %  rakyat di Malaysia mengalami stres yang normal dan bakinya menunjukkan mereka mengalami stres yang sederhana.  Selain itu, untuk elemen anxiety atau kebimbangan, seramai 30% daripada jumlah responden mengalami kebimbangan yang normal, 36% peratus mengalami kebimbangan sederhana dan selebihnya mengalami kebimbangan yang parah. Ini jelas menunjukkan rakyat Malaysia lebih banyak menghadapi kebimbangan berbanding stres. Bagi keputusan depression atau tekanan pula, lebih daripada 50% peserta mengalami tekanan biasa, 30% mengalami tekanan sederhana dan 20% mengalami tekanan yang parah.

 Akhir sekali, majlis bersurai dengan ucapan terima kasih kepada semua pelajar oleh fasilitator dan ahli jawatankuasa tertinggi Program Komuniti “Sihat Badan Sihat Jiwa” dan program tamat jam 3.00 petang.

 

Tarikh Input: 30/07/2021 | Kemaskini: 30/07/2021 | muhamadzulwaqa

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT KOKURIKULUM DAN PEMBANGUNAN PELAJAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 8558 / 1467
-
SXESOAv~